suria

SAINS Ambil Langkah Segera Atasi Gangguan Bekalan Air

SEREMBAN: Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) mengambil beberapa langkah segera bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di negeri ini sejak Sabtu lepas.

Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat SAINS, Azlan Abdul Aziz berkata, antara langkah tersebut ialah menyediakan bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terlibat mengikut jadual yang telah ditetapkan.

"SAINS juga melaksanakan sistem pengagihan air berjadual kepada pengguna di kawasan berkenaan untuk memastikan mereka menerima bekalan air. Jadual pengagihan air ini akan diumumkan dalam masa terdekat melalui media massa, laman web SAINS (www.sainswater.com) dan juga melalui ketua-ketua masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara kawasan yang terlibat ialah Ulu Beranang, Lenggeng, Pantai, Sikamat, Kuarters KLIA, Kota Serimas, Gadong, Taman Eka Matahari, Pekan Nilai, NIlai Perdana, Bandar Baru Nilai, Taman Semarak, Sendayan, LBJ, Mantin, Taman Melor dan Batang Benar.

Katanya, gangguan bekalan air yang berlaku itu disebabkan peningkatan penggunaan air secara mendadak yang sering berlaku semasa musim perayaan.

Selain itu katanya, keadaan itu berlaku disebabkan penurunan pengeluaran air di Loji Rawatan Air Pantai, Sungai Ngoi-Ngoi dan Sungai Mahang berikutan cuaca panas dan taburan hujan yang berkurangan di kawasan tadahan air.

"Kami ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan pengguna adalah dinasihatkan agar menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang tempoh pengagihan air berjadual ini dijalankan," katanya.

Tambahnya, dalam kes tertentu seperti majlis perkahwinan, kematian, upacara keagamaan dan majlis rasmi kerajaan, SAINS akan menghantar bekalan air menggunakan lori tangki dan mana-mana pihak yang terlibat boleh menghubungi SAINS di talian bebas tol 1-800-88-6982. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Lain