suria

KPT Laksana Program Tingkatkan Kebolehpasaran Graduan

TEMERLOH: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melaksanakan program "employability" bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam sektor pekerjaan.

Menteri berkenaan Datuk Saifuddin Abdullah berkata program itu berpandukan enam kerangka utama iaitu ijazah pelbagai bidang, tamat pengajian, program perantisan, program jurang penawaran, latihan keusahawanan dan mobiliti pelajar.

Beliau berkata melalui kesemua kerangka itu ia dijangka mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Sebagai contoh, beliau berkata jika seseorang graduan mempunyai kelulusan tidak hanya dalam satu bidang tertentu, ini akan meningkatkan kebolehpasarannya.

"Program ini dilaksanakan kerana terdapat sebilangan graduan serta keluarga yang bimbang mereka tidak akan mendapat pekerjaan memandangkan peluang pekerjaan terhad sama ada di sektor awam atau swasta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Berasrama Penuh Integratsi Temerloh (SBPIT) di sini, hari ini.

Beliau berkata program yang bakal dilaksanakan dalam tahun ini, juga mendapat sambutan mengalakkan dari sektor industri apabila mereka akan menyediakan bantuan dari aspek pengajaran dan pembelajaran, kajian dan penyelidikan, pemindahan teknologi dan perkongsian ilmu dengan IPT.

Saifuddin berkata pihaknya juga berharap melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh, program itu dapat diperluaskan ke peringkat pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti di seluruh negara. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain