suria

Kerajaan Selangor Tubuh Jawatankuasa Kaji Lanjutan Pajakan Tanah Di PJ

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bagi mengkaji pelanjutan tempoh pajakan tanah di Petaling Jaya dan keperluan membahagikan pentadbiran bandar Klang kepada dua Majlis Perbandaran.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jawatankuasa itu akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud.

Jawatankuasa ini akan melihat keperluan melanjutkan tempoh pajakan tanah di Petaling Jaya kepada 99 tahun lagi, katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata Petaling Jaya merupakan antara penempatan bandar yang terawal di Selangor pada tahun 1950an dan 1960an dan tempoh pajakan kebanyakan tanah di sana sekarang ialah 99 tahun.

Dengan melanjutkan tempoh pajakan ini, kerajaan negeri berharap para pemilik tanah akan dapat menikmati kesan kenaikan harga tanah mengikut keadaan pasaran.

Beliau berkata jawatankuasa akan mengkaji cara pelaksanaan pelanjutan pajakan tanah itu dan bagaimana ia boleh dilaksanakan dengan cepat termasuk diskaun kepada premium tanah itu.

Mengenai pembahagian Klang kepada dua majlis perbandaran, beliau berkata ia bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan majlis itu memandangkan penduduk bandar diraja itu kini mencecah sejuta orang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain