suria

Akta Pengajian Tinggi Negara Sedang Digubal

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pengajian Tinggi Negara 2010 sedang digubal bagi memberi kuasa kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menangani pelbagai perkara berkaitan aktiviti pengurusan dan pentabiran sektor pengajian tinggi negara, kata menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata akta itu juga diwujudkan bagi mengatasi masalah jurang kekosongan yang terdapat di dalam undang-undang pengajian tinggi negara.

"Draf akta ini akan dibentangkan ke Parlimen setelah mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk Undang-Undang Jenayah di Malaysia, di Universiti Malaya hari ini.

Mohamed Khaled berkata walaupun kini sudah terdapat enam akta yang mempunyai peruntukan bagi mengawal selia sektor pengajian tinggi namun ia tidak komprehensif.

Enam akta itu ialah Akta Uiversiti Malaya 1961, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Universiti Teknolog Mara 1976, Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997.

Beliau berkata sejak KPT diwujud dan dipisahkan daripada Kementerian Pendidikan pada tahun 2004, tidak ada undang-undang yang tepat untuk menjelaskan peranan KPT dalam sektor pengajian tinggi.

"Antara lain berhubung kuasa pihak yang mengeluarkan ijazah dan diploma, yang menyebabkan sukar bagi Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengambil tindakan terhadap institusi pengajian tinggi yang mengeluarkan ijazah dan diploma tanpa lesen.

"Justeru dengan adanya akta itu nanti, pihak kementerian akan diberi mandat sebagai "penjaga bersendiri" kepada institusi pengajian tinggi negara termasuk dari segi permohonan lesen bagi merekrut pelajar asing serta dalam soal akreditasi institusi pengajian tinggi," katanya.

Mohamed Khaled berkata menerusi akta itu juga, satu pangkalan data yang dikenali sebagai Daftar Pengajian Tinggi Negara akan ditubuhkan yang mengandungi pelbagai maklumat mengenai institusi, pelajar dan tenaga pengajar seperti mereka yang telah diberikan gelaran profesor, ijazah kedoktoran dan dianugerai doktor kehormat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain