34 Pengedar Dadah Antarabangsa Iran Dicekup Tak Sampai 2 Bulan - Semasa | mStar

34 Pengedar Dadah Antarabangsa Iran Dicekup Tak Sampai 2 Bulan

Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin (tengah) memeriksa dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini. - Foto THE STAR oleh KEVIN TAN
Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin (tengah) memeriksa dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini. - Foto THE STAR oleh KEVIN TAN

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh tidak sampai dua bulan ini sahaja, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mencekup 34 suspek warga Iran yang bertindak sebagai kurier dadah selain mendalangi dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang aktif di Lembah Klang.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin berkata, polis berjaya mematahkan sembilan kes cubaan menyeludup masuk methamphetamine (syabu) bernilai RM10.5 juta dari Iran hasil 11 operasi yang dijalankan.

Berbanding statistik tangkapan sepanjang tahun lalu, cuma seramai 24 rakyat dari negara rantau Asia Barat itu ditahan dengan rampasan dadah jenis syabu sebanyak 16.8 kilogram (kg), kata beliau.

Tambahnya, kebanyakan suspek terbabit ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa cuba memasuki negara ini.

"Mereka ditahan terutama di KLIA, kediaman mewah dan hotel bertaraf lima bintang hasil perkongsian risikan dengan rakan sejawat dari Iran serta agensi-agensi berkaitan.

"Operasi tersebut berjaya merampas sejumlah 41.967 kg syabu bernilai kira-kira RM10.5 juta selain menyita wang tunai sebanyak RM225,850 termasuk pelbagai aset lain," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terbaru, di pintu masuk negara yang sama, tiga warga Iran ditahan kerana cuba menyeludup 54 kilogram dadah jenis itu bernilai RM13.6 juta oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) daripada tiga penyeludup termasuk dua wanita.

Ketiga-tiga warga Iran berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan di pintu pemeriksaan KLIA pada pukul 10 malam Jumaat lalu, setelah didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Mengulas lanjut mengenai operasi dadah itu, Zulhasnan memberitahu, tiga rakyat tempatan selain dua warga asing masing-masing dari Filipina dan Singapura turut ditahan atas kesalahan yang sama.

Menurutnya, kesemua 39 suspek terbabit yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 58 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan akan menerima hukuman mati mandatori.

"Mereka terdiri daripada 36 lelaki dan tiga perempuan," jelas beliau.

Katanya, modus operandi anggota sindiket terbabit termasuk menelan, menyembunyikan dalam beg pakaian atau barangan seperti botol penyembur rambut dan merendam pakaian dalam cecair syabu sebelum dikeringkan.

"Seorang kurier dadah boleh menelan antara 80 hingga 200 pelet bergantung kepada saiz badannya. Setiap pelet mengandungi tujuh hingga 10 gram dadah.

"Ada di antara pembawa dadah yang ditangkap itu didapati telah memasuki negara ini beberapa kali," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain