suria

19,965 Keping VCD Dan DVD Dirampas, Dua Lelaki Ditahan

KUALA LUMPUR: Intipan pihak polis selama seminggu ke atas sebuah premis perniagaan di Bandar Seri Permaisuri di sini menemui 19,965 keping cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak pelbagai tajuk di sebuah unit perniagaan yang dijadikan stor awal pagi tadi.

Serbuan kira-kira pukul 3 pagi tadi di unit perniagaan di tingkat dua Plaza Dwi Tasik itu juga turut menahan dua lelaki yang berumur 32 dan 35 tahun dipercayai pekerja di stor itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah berkata kedua-dua lelaki itu ditahan ketika membawa turun dua beg plastik berisi 81 keping VCD dan DVD dari premis berkenan yang disewa.

"Ketika intipan dilakukan, kedua-dua lelaki ini menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna hitam naik ke tingkat dua premis itu dan turun 50 minit kemudian dengan membawa dua buah beg plastik berwarna hitam," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata nilai rampasan itu dianggarkan kira-kira RM100,000 dan barang-barang tersebut dipercayai untuk diedarkan di pasar malam sekitar Cheras.

Beliau berkata salah seorang daripada suspek itu pernah ditahan pada 20 Jun tahun lepas atas kesalahan yang sama dan kesnya masih berjalan di mahkamah.

Katanya kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 18 (3) Akta Penapisan Filem 2002 dan kini direman selama tiga hari sehingga 10 Feb ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain