suria

Kemiskinan Bukan Penghalang Terus Belajar

KUALA LUMPUR: Faktor kemiskinan bukan lagi satu penghalang bagi mana-mana pelajar untuk meneruskan pelajaran, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Menurutnya, ini kerana pelbagai bantuan disediakan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah pelajar miskin dan ia mencakupi semua jenis sekolah serta semua kaum, asalkan pelajar miskin.

Wee, yang juga Ketua Pemuda MCA berkata, antara bantuan itu ialah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diwujudkan untuk membangunkan modal insan negara.

"Setakat ini KWAMP dan RMT telah membelanjakan RM650 juta setahun bagi membantu mereka yang sedang berhadapan dengan masalah kemiskinan," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan kepada 105 pelajar miskin di sini hari ini.

Pada majlis itu, Kok Kwan Club Kepong, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah memberikan sumbangan kira-kira RM100,000 kepada tujuh buah sekolah rendah Cina di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain