suria

10 Warga Iran Ditahan Di KLIA Dipercayai Seludup Dadah

KUALA LUMPUR: Seramai 10 lelaki warga Iran yang dipercayai cuba menyeludup dadah ke negara ini ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam operasi berasingan pada awal pagi dan petang ini.

Tangkapan itu adalah yang teramai dalam tempoh satu hari membabitkan warga Iran, dan ini menunjukkan trend penyeludupan dadah antarabangsa yang sebelum ini dimonopoli oleh warga Afrika kini berubah kepada pembabitan warga Iran.

Menurut sumber Jabatan Narkotik Bukit Aman, enam daripada mereka ditahan kira-kira pukul 5.50 pagi di lobi KLIA ketika sedang menaiki sebuah kenderaan limo yang dipercayai untuk ke ibu negara, manakala empat lagi ditahan pukul 2.30 petang juga di KLIA.

Difahamkan kesemua mereka berumur antara 20 hingga 30 tahun itu menaiki penerbangan dari Iran dan transit di Dubai, sebelum meneruskan penerbangan mereka ke Kuala Lumpur.

Sumber itu berkata dalam tangkapan pertama yang membabitkan enam lelaki Iran itu, polis menemui sekurang-kurangnya dua kilogram dadah jenis syabu yang disorok di dalam salah satu beg pakaian yang dibawa oleh suspek pertama.

Sementara lima lagi rakannya menyorokkan dadah jenis yang sama di dalam perut dengan menelannya, katanya dan menambah, polis berjaya mengesan taktik itu apabila mereka enggan mengambil sebarang makanan dan minuman apabila disuruh berbuat demikian.

Katanya seorang dari empat lelaki yang ditangkap dalam kumpulan kedua didapati menyorokkan kira-kira dua kilogram dadah jenis syabu dengan melekatkan pada badannya, iaitu di kedua-dua lengan, perut serta dicelah kemaluan.

Seorang daripada mereka juga disyaki menyorokkan dadah tersebut di dalam perut dengan menelannya, sementara dua lagi yang ditahan masih dalam siasatan, kata beliau.

Dipercayai nilai keseluruhan dadah yang suba diseludup masuk ke negara ini adalah tidak kurang daripada RM2 juta, katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Narkotik (Operasi) Bukit Aman Datuk Othman Harun yang dihubungi Bernama berkata kini terdapat trend perubahan dalam penyeludupan dadah antarabangsa, dan Malaysia tidak terlepas daripada sasaran tersebut.

Katanya warganegara Iran kini dilihat semakin aktif menjalankan kegiatan tersebut dan sejak bulan lepas, lebih kurang 20 warganegara Iran telah ditahan kerana cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini.

Semalam, seorang lelaki Iran ditahan di KLIA kerana menyeludup 87 ketul bungkusan berisi dadah yang disyaki syabu di dalam perutnya, manakala tiga lagi lelaki dari negara yang sama ditahan bersama 16 botol penyembur rambut yang diisi dengan bahan yang disyaki syabu seberat 6,778 gram.

Kesemua syabu yang dirampas dalam dua serbuan berkenaan dianggarkan bernilai RM2 juta.

Sebelum itu, katanya pada Sabtu lepas dua lelaki dari Iran ditahan di sebuah hotel mewah di Bukit Bintang, dan salah seorang daripada mereka menelan 363 gram dalam bentuk kapsul disyaki dadah syabu yang dianggarkan bernilai RM140,000.

Othman berkata modus operandi kumpulan dari Iran ini ialah dengan menelan dadah tersebut sebelum penerbangan dan akan mengeluarkannya semula apabila tiba di negara ini.

"Kumpulan ini bergerak aktif kerana terdapat orang tengah yang juga dari negara yang sama untuk menjalankan pengedaran dadah di negara ini. Mereka menggunakan pas pelancong untuk mengaburi pihak berkuasa bagi menjalankan aktiviti tersebut," katanya.

Othman berkata walaupun polis negara ini tidak mempunyai kerjasama dengan Iran, namun usaha bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah membabitkan negara tersebut tetap dijalankan secara serius melalui saluran-saluran lain.

"Kita mendapat bantuan dari pihak lain bagi penyaluran maklumat bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah terutama membabitkan negara Iran," katanya yang menganggap trend perubahan yang berlaku adalah masalah global dan bukan di Malaysia sahaja. - BERNAMA

Artikel Lain