suria

TV Dan Radio "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen dan radio di negara ini banyak menyediakan program yang selaras dengan prinsip "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", di bawah gagasan 1Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Kamaruddin Siaraf berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) memaparkan program bersesuaian berdasarkan kehendak penonton masa kini namun dalam masa yang sama menekankan dan mengutamakan kepentingan konsep 1Malaysia dalam setiap penerbitan sama ada drama, majalah, dokumentari dan hiburan.

Beliau berkata promosi 1Malaysia melalui media elektronik bukanlah menjadi tanggungjawab RTM sahaja kerana stesyen televisyen swasta dan berbayar juga digalakkan menghasil dan menyiarkan program yang mengetengahkan perpaduan, kerjasama serta cara hidup rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah memberi taklimat dan penerangan kepada stesyen televisyen swasta mengenai gagasan 1Malaysia dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Kebelakangan ini banyak program yang menceritakan kehidupan rakyat berbilang kaum hidup dalam keadaan aman damai di kaca televisyen.

"Ini merupakan perkembangan yang sangat baik dan kementerian berharap usaha ini akan berterusan kerana ini merupakan satu daripada cara untuk kita mewujudkan jati diri bangsa Malaysia yang dibentuk mengikut acuan kita sendiri," katanya dalam wawancara dengan Bernama di Angkasapuri di sini.

Katanya biarpun sambutan penerbit program televisyen adalah baik, namun beliau mengingatkan bahawa perjuangan mempromosi 1Malaysia menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia.

"Kita semua tahu dan sedar bahawa gagasan 1Malaysia merupakan landasan utama ke arah mewujud dan mengekalkan perpaduan dan keharmonian di negara ini.

"Pengamalan dan pemahaman 1Malaysia adalah jawapan bagi pengwujudan rakyat negara yang bersatu padu serta merupakan prasyarat bagi pembangunan ekonomi Malaysia," katanya.

Konsep 1Malaysia membawa aspirasi untuk memperkukuh hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana yang digariskan dalam prinsip Rukun Negara.

Beliau juga berkata gagasan 1Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan pinsip Rukun Negara sebenarnya sudah diamalkan sejak dulu dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Dulu kita tidak menterjemah 1Malaysia dalam satu gagasan yang konkrit tetapi nilai yang dibawa dalam prinsip 1Malaysia itu sudah ada sekian lama.

"Terasnya ialah perpaduan dan menggalakkan kerjasama, hormat menghormati sesama rakyat," katanya.

Televisyen, katanya, merupakan antara medium bagi menyampaikan maklumat kepada orang ramai, dan adalah menjadi tanggungjawab stesyen televisyen kerajaan mahupun swasta untuk menyiarkan lebih banyak program yang berbentuk keharmonian hidup dalam masyarakat dan ini sudah dikira sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial kepada negara.

Menerusi RTM, pelbagai langkah dibuat bagi menggalakkan pengarah atau penerbit swasta tempatan bergiat dalam penerbitan drama khususnya yang memaparkan konsep 1Malaysia.

"RTM melalui TV1 dan TV2 menyediakan slot untuk rancangan swasta tempatan yang meliputi genre drama bersiri, telemovie, hiburan, majalah dan dokumentari," katanya.

Beliau berkata RTM juga banyak menerbitkan sendiri program yang dibuat secara halus dan bersahaja dengan menerapkan pelbagai nilai kemasyarakatan seperti kelebihan hidup bersatu padu, penyertaan pelbagai kaum menerusi aktiviti sosial, drama yang mempamerkan kehidupan rakyat Malaysia, perayaan pelbagai kaum dan juga perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat.

"Kita tidak perlu mengadakan rombakan program besar-besaran kerana penerapan konsep 1Malaysia sudah lama sebati dalam masyarakat sehinggakan sampai satu tahap apabila kita tidak perlu mengadakan satu latihan formal untuk semua penerbit filem, drama mahupun program-program lain," katanya.

Kementerian bagaimanapun tidak membuat sebarang garis panduan khusus berkaitan 1Malaysia kepada penerbit drama mahupun program-program lain bagi memberikan kebebasan kepada mereka untuk berkarya dan mencurahkan kreativiti masing-masing.

"Kita tidak akan menghalang kreativiti penerbit mahupun pengarah supaya mengeluarkan drama ataupun filem berbentuk 1Malaysia kerana 1Malaysia merupakan kehidupan sebenar masyarakat Malaysia dan ini kita mahu tekankan," katanya.

Beliau berkata konsep 1Malaysia boleh dijelmakan menerusi drama mahupun filem yang berkisarkan percintaan ataupun kekeluargaan tetapi semuanya mestilah mencerminkan kehidupan sebenar rakyat di negara ini.

Ditanya mengenai insentif bagi penerbit yang mengeluarkan drama mahupun filem mengenai 1Malaysia, Kamaruddin berkata kementerian akan mengkaji perkara itu di masa akan datang jika ada penerbit yang benar-benar mengeluarkan drama ataupun filem yang bermutu.

Katanya usaha bagi mewujudkan program khas mengenai 1Malaysia tidak menjadi persoalan kerana program yang ditayangkan RTM kini sudah pun melibatkan penyertaan pelbagai kaum yang menggambarkan pelbagai agama dan kebudayaan serta cara hidup rakyat Malaysia.

"Walaupun kita mempromosi 1Malaysia, tidak bermakna kita perlu membuat rancangan khas bagi tujuan ini.

"Kita tidak mahu penonton merasa bosan dan merasakan program itu mempunyai propaganda namun kita menyiarkan program yang menerapkan nilai 1Malaysia dari semasa ke semasa," katanya.

Katanya program di RTM akan menjalani perubahan secara berterusan bagi penambahbaikan yang dilakukan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada penonton.

Sebagai contoh, penukaran waktu siaran Berita Perdana dari pukul 9 malam kepada pukul 8 malam ialah berdasarkan komen serta maklum balas penonton dan ini menggambarkan bahawa RTM mengambil kira selera penonton serta secara tidak langsung dapat membantu menambahkan rating.

"Dalam mengamalkan prinsip 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" jelas dalam konteks ini penonton diutamakan dan kita akan membuat perubahan dari semasa ke semasa mengikut maklum balas yang diterima," katanya.

Mengenai situasi semasa masyarakat yang kini lebih banyak memilih stesen televisyen berbayar Astro, Kamaruddin berkata beliau yakin mesej yang ingin disampaikan kerajaan tetap sampai kepada penonton.

"Kebanyakan masyarakat akan melanggan pakej asas yang mengandungi saluran RTM, TV3, TV9, NTV7 dan 8TV dan menerusi saluran-saluran utama ini mesej kerajaan akan tetap sampai kepada mereka walaupun melanggan stesen televisyen berbayar," katanya.

Dalam masa yang sama, kementerian mensyaratkan stesen televisyen swasta supaya menyiarkan Pesanan Khidmat Awam (PSA) di dalam rancangan-rancangan mereka tidak kira dalam bentuk kapsul, treler mahu pun dokumentari.

PSA ini akan dibekalkan oleh kementerian melalui SKMM dan di samping itu juga stesen-stesen televisyen swasta digalakkan untuk menyediakan PSA terbitan sendiri yang bersesuaian mengikut kreativiti masing-masing asalkan ia selari dengan mesej yang hendak disampaikan.

Kamaruddin berkata di Astro contohnya pesanan khidmat awam mesti dikeluarkan sekurang-sekurangnya satu minit setiap jam manakala RTM dan TV3 mengeluarkan pesanan khidmat awam dua minit bagi setiap jam siaran.

"Melalui peruntukan syarat lesen inilah kita dapat menyampaikan mesej-mesej tertentu kita seperti langkah pencegahan H1N1 dan kempen penerapan nilai-nilai murni serta juga mempromosi lagu-lagu patriotik mengenai 1Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain