suria

Yeop Adlan Bukan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR Sejak Julai 2009

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam menjelaskan bahawa Datuk Yeop Adlan Che Rose telah meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti sejak Julai 2009.

Malah parti itu menegaskan bahawa peletakan jawatan tersebut tidak ada hubung kait dengan isu tindakan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali ketika mengesahkan perkara tersebut berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas kerana Yeop Adlan meletakan jawatan dalam PKR sejak tahun lalu.

Tambahnya, jawatan tersebut telah pun digantikan dengan Syed Kamaruzzaman.

"Memang beliau dah letak jawatan dalam PKR, tapi bukan letak hari ini ataupun baru-baru ini.

"Tahun lepas lagi dah letak... jadi kenapa nak kaitkan dengan isu YB (Yang Berhormat) Zulkifli pula," katanya kepada mStar Online di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan muka depan sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris hari ini yang memetik sumber dalaman parti itu mengenai peletakan jawatan Yeop Adlan kerana kecewa.

Laporan berkenaan mengatakan Yeop Adlan kecewa dengan keputusan Biro Politik PKR yang merujuk Zulkifli kepada lembaga disiplin parti kerana membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu kalimah Allah.

Sementara itu, Yeop Adlan ketika dihubungi melahirkan rasa terkejutnya dengan laporan akhbar berkenaan.

"Saya letak jawatan? Bila? Hari ini atau semalam?" katanya.

Menjelaskan mengenai perkara sebenar, beliau berkata, statusnya dalam PKR hanya pemimpin yang dipinjamkan daripada PAS.

"Saya sebenarnya ialah ahli PAS, saya hanya dipinjamkan kepada PKR untuk membantu parti itu.

"Bila dah tamat tempoh perkhidmatan yang dipinjamkan itu, saya kembalilah kepada PAS," katanya.

Selain itu, beliau telah meninggalkan PKR sejak Julai tahun lepas namun hairan mengapa isu berkenaan sengaja dibangkitkan sekarang.

"Patutnya tahun lepas isu ini (letak jawatan) ditimbulkan, bukannya sekarang.

"Seingat saya sejak Julai (tahun lepas) lagi saya dah letak jawatan," katanya.

Yeop Adlan dipilih menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin pada rombakan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR April tahun lalu.

Sebelum ini beliau adalah AJK Lajnah Antarabangsa PAS dan pernah mewakili parti itu bagi merebut kerusi Parlimen Hulu Langat pada Pilihan Raya Umum 2004 tetapi tewas.

Artikel Lain