suria

Taraf Warganegara Bukan Melayu Tidak Harus Dipersoal

PETALING JAYA: Taraf kewarganegaraan rakyat bukan Melayu di negara ini tidak harus dipersoalkan kerana ia telah ditetapkan dalam Perlembagaan, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat peruntukkan yang menyatakan orang Melayu adalah masyarakat pribumi dan rakyat bukan Melayu mempunyai hak sebagai warganegara.

"Perkara tersebut tidak harus dipersoalkan. Kita tidak boleh buang rakyat kita sekarang.

"Perlembagaan memberi peruntukkan bahawa kita tidak boleh melucutkan taraf warganegara seseorang individu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Yayasan Lepar di Ara Damansara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan berbaur perkauman yang didakwa dikeluarkan oleh Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar dalam seminar 1Malaysia anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Budaya di Melaka semalam.

Nasir dilaporkan berkata, kaum bukan Melayu di negara ini asalnya adalah pendatang dan peminta sedekah.

Beliau dikatakan membuat kenyataan demikian ketika merujuk kepada beberapa isu dan tuntutan yang dibuat oleh kaum bukan Melayu dalam soal polisi pendidikan negara.

Kenyataan beliau itu khabarnya telah menyebabkan beberapa peserta dari MIC dan MCA keluar meninggalkan dewan.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Dr Mahathir berkata, kenyataan tersebut tidak wajar dibuat.

"Kenyataan itu sangat teruk dan tidak wajar dibuat. Jika benar sekali pun kita tidak boleh berkata sedemikian.

"Mereka telah jadi rakyat di negara ini sejak dulu lagi. Ini kenyataannya, mereka telah membesar dan mempunyai kaum keluarga di sini. Mereka bukan baru tiba di sini," katanya.

Beliau berkata, taraf kewarganegaraan rakyat Malayaia akan kekal sehingga mereka mengisytiharkan sebaliknya atau mereka menukar taraf kerakyatan mereka di negara lain.

"Di sesetengah negara, anda boleh buang rakyat mereka di pulau atau di tempat lain, tetapi di sini kita tidak boleh lakukan perkara sebegitu jika mereka rakyat di negara ini.

"Mereka akan kekal sebagai warganegara hingga mereka mengisytiharkan sebaliknya atau mereka mempunyai taraf kerakyatan di negara lain," ujarnya.

Semalam, satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri menyebut, Nasir akan meletakkan jawatannya berikutan dakwaan yang mengatakan beliau telah mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dalam satu forum.

Kenyataan itu menyebut komen yang dibuat oleh Nasir ketika berucap pada majlis itu tidak sama sekali dalam apa keadaan sekalipun mencerminkan pandangan Perdana Menteri.

Beliau sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno Johor pada era Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi menteri besar.

Artikel Berikut

Artikel Lain