suria

Perlu Terima Malaysia Negara Pelbagai Kaum: Wanita Umno

SHAH ALAM: Wanita UMNO hari ini meminta semua pihak menerima kenyataan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan hidup harmoni sejak berpuluh tahun.

Naib Ketua Pergerakan itu, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, antara faktor utama menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan dikagumi ialah kerana kemampuan rakyat berbilang bangsa, kaum serta agama mampu hidup dengan saling memahami antara satu sama lain.

"Kerjasama yang kita pupuk sejak dulu perlu diteruskan dan saling mengambil sikap menerima dan toleransi antara kaum dan agama.

"Macam kita duduk satu rumah kalaupun ada yang tidak puas hati kita berbincang dan tolak ansur serta menerima demi kebaikan bersama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Butik Women 2 Women di Seksyen 9, di sini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta rakyat bersatu dalam menghadapi percubaan biadab mengganggu keharmonian masyarakat.

Kamilia berkata, selaras dengan saranan Perdana Menteri, rakyat perlu bersatu dan mempertahankan keharmonian demi memastikan kestabilan politik dan sosial yang dikecapi terus kekal di negara ini.

Berhubung kemelut yang melanda pakatan pembangkang di Pulau Pinang, beliau berkata situasi itu jelas menunjukkan mereka kini berada di ambang kehancuran.

"Pakatan pembangkang tiada hala tuju dan telah menjadi adat mereka bila berlaku kemelut mereka akan salahkan orang luar kononnya sebagai punca," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain