suria

Sabah Perketat Peraturan Tukar Status Tanah Sawah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bercadang memperketat penguatkuasaan peraturan penukaran status tanah sawah padi kepada kegunaan komersil dan perumahan, khususnya di kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, kerajaan memandang serius amalan sesetengah pemilik tanah sawah padi yang gemar menukar status tanah mereka kepada kegunaan komersil kerana ia boleh menjejaskan pengeluaran padi tempatan pada masa depan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengeluaran padi yang dikategorikan sebagai "tanaman keselamatan" berterusan di negeri ini.

"Bagi kawasan pinggiran bandar besar, mungkin adakalanya kita perlu memberi pengecualian (tukar status), itu pun bergantung kepada keperluan. Apa yang kita bimbang ialah kecenderungan pemilik tanah sawah padi di kawasan luar bandar untuk menukar status tanah mereka.

"Bayangkan di tengah-tengah sawah padi, ada pula projek perumahan atau rumah yang dibina. Kalau kita tidak pantau keadaan ini, maka usaha kita meningkatkan pengeluaran padi mungkin terjejas dan kita akan terus bergantung kepada import beras," katanya kepada pemberita selepas melawat premis Sazarice Sdn Bhd, syarikat pemborong dan pembekal utama beras Sabah, di Likas, dekat sini hari ini.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata, pada masa ini, Sabah hanya mampu mengeluarkan sekitar 31 peratus bekalan beras tempatan manakala selebihnya diimport.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang mencari mekanisme sesuai bagi membantu pemilik tanah sawah padi mengusahakan tanah mereka, termasuk memberi bantuan subsidi.

Mengenai penggunaan kupon bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah membeli beras super tempatan 15 peratus hancur (ST15) yang sepatutnya mula dilaksanakan di Sabah pada 1 Dis lepas, Yahya berkata ia belum lagi dilaksanakan di negeri ini memandang masih ramai golongan miskin dan miskin tegar yang memohon kemudahan subsidi beras itu.

"Kita sedang menunggu senarai penuh pemohon yang layak daripada pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan kita harap penggunaan kupon dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Keadaan sebenar bekalan beras subsidi tidak jelas kerana ada penyalahgunaan pembelian oleh orang yang mampu yang menyebabkan sistem kupon diperkenalkan," katanya sambil menambah bahawa bekalan beras, termasuk beras bermutu tinggi, mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.

Yahya berkata, penggunaan sistem kupon akan memastikan hanya golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah sahaja mendapat keistimewaan untuk membelinya.

Mengenai usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pengeluaran daging babi, Yahya berkata, kerajaan negeri telah menyediakan kawasan seluas 200 hektar di Tongod, yang terletak di tengah-tengah Sabah, untuk ladang babi.

"Kalau boleh, kita akan swastakan projek ini supaya kerajaan dapat mengurangkan kos perbelanjaan, tetapi biarlah pihak swasta yang mengemukakan cadangan untuk pihak kerajaan atau kabinet negeri mempertimbangkannya," katanya.

Katanya, projek ladang babi besar-besaran itu dijangka siap tahun 2012, dan apabila beroperasi sepenuhnya, ia mampu memenuhi keperluan tempatan dan eksport ke luar negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain