suria

17 Resolusi Dirumus Dalam Seminar Adat Perpatih

SEREMBAN: Usaha memperkasa dan memartabatkan Adat Perpatih oleh Kerajaan Negeri Sembilan serta Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan adalah antara 17 resolusi yang dicapai pada seminar sehari Adat Perpatih di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Induk seminar itu, Kolonel Prof Datuk Dr Kamaruddin Kachar berkata, seminar yang dihadiri lebih 200 peserta, terdiri daripada ketua-ketua adat dan ketua-ketua jabatan itu, turut meminta kerajaan negeri bersungguh-sungguh menjadikan aktiviti Adat Perpatih sebagai produk pelancongan dari dalam dan luar negara.

"Selain itu, seminar itu mencadangkan kerajaan negeri supaya memberi pengiktirafan sewajarnya mengenai kedudukan ketua-ketua adat seperti Datuk-Datuk Lembaga, Buapak dan pemegang ketua-ketua adat yang lain dalam struktur susunan masyarakat," katanya.

Kamaruddin berkata, seminar itu turut menyarankan agar nama Negeri Sembilan Darul Khusus ditukar namanya kepada Negeri Sembilan Negeri Beradat sesuai dengan masyarakatnya yang menjadikan Adat Perpatih sebagai teras dalam kehidupan seharian mereka.

"Kali ini kita mesti serius dan agresif dalam mempertahan dan mengembangkan Adat Perpatih. Untuk itu kita perlu ada rancangan padu dan komitmen semua pihak yang berkaitan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain