3.16 Juta Pencarum KWSP Buat Penamaan Hingga Disember Lepas - Semasa | mStar

3.16 Juta Pencarum KWSP Buat Penamaan Hingga Disember Lepas

KUALA LUMPUR: Jumlah anggota Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat penamaan simpanan sehingga 31 Disember lepas telah meningkat kepada 3.16 juta.

Pengurus Besar Perhubungan Awamnya, Nik Affendi Jaafar berkata, peningkatan itu adalah hasil kempen selama 45 hari bermula 16 November lepas yang menyaksikan 66,016 anggota membuat penamaan.

Pada bulan Disember berlaku peningkatan 121 peratus iaitu sebanyak 46,472 penamaan dibuat berbanding jumlah purata pada bulan-bulan sebelumnya, kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

"Kami berharap kesedaran ini akan berterusan walaupun selepas kempen berakhir," katanya.

Beliau turut menyarankan agar anggota membuat semakan penamaan yang dibuat sebelum ini bagi memastikan ia masih relevan.

"Untuk membuat atau mengemaskini penamaan, anggota hanya perlu mengisi Borang KWSP 4 dan menyerahkannya kepada cawangan KWSP berdekatan. Borang juga boleh diperolehi dari mana-mana cawangan KWSP atau dimuat turun dari laman web www.kwsp.gov.my," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

2010 Titik Permulaan Pembudayaan Inovasi

Artikel Berikut

35 Laporan Kesan Buruk Produk Sibutramine

Artikel Berkaitan

Artikel Lain