suria

Usaha Najib Dekati Masyarakat India Tepat

KUALA LUMPUR: Usaha Datuk Seri Najib Tun Razak mendekati kaum India sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri hampir dua tahun lalu telah menghantar isyarat yang tepat.

Mengikut jejak langkah ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein Perdana Menteri kedua negara, Najib nampaknya mengambil langkah "radikal" bagi memenangi hati dan minda bagi 1.8 juta penduduk kaum India di Malaysia.

Langkah terbaru beliau ialah lawatan dua hari ke Tamil Nadu, tempat asal bagi lebih 80 peratus kaum India di Malaysia, berjumpa para pemimpin di sana dengan mudah walaupun di tengah-tengah publisiti buruk mengenai keadaan kehidupan dan status rakyat India di Malaysia sejak beberapa tahun lepas, ekoran perhimpunan besar-besaran oleh Pertubuhan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) di Kuala Lumpur pada 2007.

Najib menjadi Perdana Menteri pertama Malaysia melawat wilayah tumpuan Tamil berikutan lawatan bersejarah itu. Lawatan beliau menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves malam esok juga akan menjadi satu rekod.

Selain Tun Abdul Razak, tiada perdana menteri lain yang telah melawat kuil Batu Caves semasa Thaipusam yang akan disambut oleh rakyat Malaysia yang beragama Hindu, Sabtu ini.

Ahli politik veteran dan bekas Timbalan Menteri, Tan Sri M. Mahalingam berkata, Najib sedang "melakukan apa yang telah dilakukan oleh bapanya".

"Masa itu baru sahaja lepas kemerdekaan dan Tun Razak biasa pergi ke sambutan perayaan Thaipusam. Beliau (Najib) melakukannya bagi memastikan kaum India tidak berasa dipinggirkan. Beliau mahu mereka berasa seperti di rumah sendiri di negara ini terutama sekali selepas perhimpunan Hindraf.

"Bagi pihak masyarakat itu, mereka berasa diperlukan apabila mereka melihat Perdana Menteri bergaul mesra dengan mereka. Keadaan yang sama juga dapat dilihat pada Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran). Beliau juga nampaknya seperti seorang yang kaum India boleh bergantung harap," kata bekas Setiausaha Agung MIC, Mahalingam.

Beliau berkata, usaha pemimpin atasan mendahului parti politik yang berasaskan kaum India dalam menyalurkan bantuan dan pertolongan kepada masyarakat itu juga menandakan bermulanya era baru bagi masyarakat itu.

Sebelum ini, kerajaan memberikan bantuan dan pertolongan kepada masyarakat India melalui parti-parti politik seperti MIC. Bagaimanapun, keadaan itu telah berubah di bawah pentadbiran Najib dengan kerajaan menyalurkan bantuan melalui mekanismanya sendiri.

Ini, kata Mahalingam adalah disebabkan masyarakat itu telah dibahagikan kepada pelbagai segmen secara politik selepas perhimpunan Hindraf.

Masyarakat itu kini mempunyai enam parti politik bagi memenuhi keperluan mereka iaitu MIC, Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF), Parti Progresif Penduduk (PPP) walaupun pelbagai kaum, majoriti anggotanya adalah kaum India, Malaysia Indian United Party (MIUP), parti Makkal Sakti yang baru dilancarkan dan sebuah lagi parti yang sedang dalam proses di bawah naungan beberapa bekas pemimpin Hindraf.

Daripada enam parti itu, MIC dan PPP adalah parti komponen Barisan Nasional (BN) manakala IPF, MIUP dan Makkal Sakti merupakan rakan BN. Parti yang lain yang masih belum diiktiraf Pendaftar Pertubuhan, nampaknya telah mengambil pendirian sebagai pembangkang.

"Keadaan tidak bersatu padu itu telah menyebabkan masyakat India berpecah kepada beberapa kumpulan. Apa yang Perdana Menteri mahukan ialah masyarakat India yang bersatu padu. Dalam kes ini, bersatu padu dalam sokongan mereka kepada BN.

"Beliau mahu mereka merasakan bahawa mereka mendapat sokongan BN walaupun para pemimpin masyarakat India tidak dapat menyediakan sebuah barisan yang bersatu. Beliau mahu masyakat itu sedar bahawa bukan semuanya kalah walaupun para pemimpin mereka secara politiknya tidak bersetuju," katanya. Pemerhati politik, Ananthan Seenivasan berpendapat bahawa usaha pendekatan Najib itu adalah positif dan ia diberi perhatian serius oleh masyarakat India di Malaysia. "Lawatan Perdana Menteri ke Batu Caves bukan perkara baru. Ia merupakan amalan sebelum ini tetapi telah tidak diamalkan oleh Perdana Menteri berikutnya. Beliau hanya meneruskan tradisi lama. Walaupun lawatan itu tidak menyumbang secara terus kepada masyarakat itu, masyarakat India di Malaysia sudah pasti akan berasa yakin melihat kehadiran Perdana Menteri di sana," kata bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu, yang juga Presiden MIC.

Ananthan berkata, Najib bukan berusaha untuk "memancing undi" dengan pendekatannya itu dan ia tidak boleh dilihat sebagai satu gimik untuk meraih sokongan masyarakat India.

"Tindakan adalah lebih berkesan daripada ucapan. Beliau perlu memenuhi aspirasi masyarakat India. Walaupun pada keseluruhannya, tindakan Najib adalah positif, orang ramai mahu melihat hasil...dan ini caranya beliau perlu membuktikannya," katanya.

Ananthan memberikan contoh mengenai masalah-masalah yang dihadapi kuil-kuil Hindu di seluruh negara di mana soal tanah dan dana merupakan isu utama.

"Walaupun lawatannya ke Tamil Nadu...adalah baik. Tetapi orang ramai ingin tahu bagaimana ia memberi faedah kepada masyarakat itu secara langsung atau tidak langsung...beliau perlu menunjukkan hasilnya. Sebagai contoh, adakah mudah bagi ahli perniagaan kaum India Malaysia untuk membawa masuk lebih ramai pekerja dari Tamil Nadu? Atau adakah ahli perniagaan India mendapat faedah dengan berurusniaga di Malaysia...bagaimana lawatannya itu boleh menyumbang kepada semua ini?"

"Saya tidak sangsi keikhlasan Perdana Menteri berhubung perkara ini dan saya dapati bahawa beliau ikhlas dalam usahanya untuk lebih dekat dengan masyarakat itu, yang mana berasakan telah dipinggirkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain