suria

Perhilitan Tumpas Cubaan Jual Hidupan Liar Menerusi Internet

SHAH ALAM: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor merampas tiga ekor burung, dua ekor iguana, seekor biawak dan empat ekor ular yang cuba dijual menerusi Internet dalam beberapa tangkapan dari 23 Jan hingga Selasa lepas.

Pengarah Perhilitan Selangor, Rahmat Topani, berkata tangkapan itu dibuat oleh pegawai jabatan itu yang menyamar sebagai ejen atau pembeli yang berminat untuk membeli haiwan-haiwan liar itu daripada penjual yang dihubungi menerusi laman internet seperti www.adpost.com dan www.mudah.my.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa pada 23 Jan lepas, seorang lelaki berusia 23 tahun diberkas bersama seekor burung kelicap kunyit dalam sebuah kereta di Taman Maluri, Cheras, manakala pada malam hari yang sama, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan di kediamannya di Bandar Baru Bangi bersama dua ekor murai batu.

Selasa lepas, empat anggota penguatkuasa Perhilitan menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di Klang dan menjumpai dua ekor iguana dalam kereta yang dipandunya.

Hasil pemeriksaan di rumah lelaki itu, anggota Perhilitan menemui seekor biawak dan empat ekor ular.

Beliau berkata haiwan yang dirampas seperti burung dijual antara RM150 dan RM400 seekor tetapi bagi haiwan yang jarang ditemui seperti sawa jenis boa constrictor, harganya boleh menjangkau hingga RM7,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain