suria

Kerajaan Rancang Pelbagai Program Untuk Kurangkan Jenayah

KUALA LUMPUR: Berikut ialah antara intipati Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk mengurangkan jenayah :

*Mengurangkan jenayah indeks keseluruhan jenayah jalanan sebanyak lima peratus bagi tahun 2010 hingga 2012.

*Mengurangkan kes kecurian ragut dan samun yang dilaporkan sebanyak 20 peratus untuk tempoh tahun yang sama (2010-2012) berbanding tahun lepas.

*Mempertingkatkan prestasi di seluruh sistem keadilan jenayah dengan menambahkan bilangan pesalah jenayah kekerasan yang dibawa ke muka pengadilan sebanyak 2,000 (2010-2012) berbanding tahun lepas.

*Mempertingkatkan persepsi awam tentang keselamatan.

*Menambahkan kepuasan awam terhadap polis atas unsur-unsur khidmat pelanggan.

*Penyingkiran bengkel-bengkel haram untuk tangani kes kecurian.

Kementerian Dalam Negeri selaku agensi yang terlibat secara penuh dalam usaha merancang pelbagai program dan pelan yang dirancang dilihat mampu menjayakan usaha kerajaan untuk mengurangkan jenayah.

Jika dilihat pada usaha untuk pengurangan jenayah jalanan, kerajaan bercadang mewujudkan kehadiran polis di mana-mana dengan mengenalpasti 50 kawasan panas berlakunya jenayah di empat negeri - Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Selain itu, kerajaan bercadang untuk menempatkan 500 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas untuk mencegah penjenayah dan untuk membolehkan polis mengenal pasti pesalah. Kebanyakan daripadanya akan dihubungkan kepada bilik kawalan daerah untuk membolehkan tindak balas segera.

Bagi mencapai KPI untuk mengurangkan kes kecurian kenderaan, ragut dan samun, kerajaan bercadang untuk menyingkirkan bengkel-bengkel haram yang bertindak sebagai saluran kepada penjual pasaran gelap alat ganti kenderaan yang diceraikan.

Selain inisiatif itu, kerajaan juga bercadang untuk memberi ganjaran kepada pemilik-pemilik yang memasang ciri-ciri keselamatan yang dipentingkan di mana pemberi insurans digalakkan melaraskan premium insurans menurut ciri-ciri keselamatan yang dipasang.

Ini bermakna premium yang lebih rendah bagi sesetengah pemilik, bergantung kepada ciri-ciri keselamatan yang dipasang dalam kereta, motosikal dan rumah mereka.

Bagi mencapai KPI untuk mempertingkatkan prestasi di seluruh sistem keadilan jenayah, kerajaan merancang untuk melaksanakan hukuman khidmat masyarakat untuk mencegah kesalahan berulang khasnya bagi pesalah bawah umur dan pesalah kali pertama.

Selain inisiatif itu, langkah lain adalah mewujudkan mahkamah khas bagi jenayah jalanan supaya kes-kes ini dapat dibicarakan dengan lebih cepat lagi.

Sementara itu, bagi mencapai KPI untuk mempertingkatkan persepsi awam tentang keselamatan ialah dengan menugaskan kembali pegawai kanan polis berpangkat Inspektor dan ke atas dalam tinjauan mesra di kawasan komersil, jalanan dan kawasan perumahan.

Ini juga termasuk mengadakan inisiatif supaya kesemua kenderaan peronda polis (MPV) dan Polis Masyarakat (POLMAS) akan berhenti untuk berbual bersama orang awam selama 10 hingga 15 minit bagi setiap jam ketika rondaan biasa.

Langkah lain adalah memperbaiki dan memperluas program 'Feet on Street' dengan membuat rondaan bersama sukarelawan polis, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam di kawasan panas dan meyakinkan masyarakat tentang keselamatan bersama.

Dalam usaha menambahkan kepuasan awam terhadap polis atas unsur-unsur khidmat pelanggan, kerajaan bercadang untuk menambah jumlah pegawai dan anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah seluruh negara.

Selain itu, kerajaan juga merancang untuk membenarkan orang awam melaporkan kejadian jenayah kepada polis yang membuat rondaan bagi memudahkan laporan disiapkan dengan cepat tanpa perlu ke balai.

Secara keseluruhannya, segala bidang tumpuan yang dirancang kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri untuk mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang disasar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memerlukan kerjasama semua pihak termasuk rakyat sendiri.

Ini kerana akhirnya rakyat sendiri yang akan menilai sejauh mana KPI itu mampu dicapai untuk mewujudkan kerajaan yang telus dalam setiap perkara yang dirancang dan dilakukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain