suria

Naza Lancar Empat Model Baru Peugeot Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Kumpulan Naza merancang untuk melancarkan empat model baru kereta Peugeot tahun ini dan menetapkan sasaran jualan hampir 3,000 unit.

Pengerusi Eksekutif bersamanya, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, kumpulan itu menjual 3,766 kereta Peugeot tahun lepas, terdiri daripada 2,347 unit model 206 Bestari, 885 unit model 308, 491 unit model 407, dan 43 unit model 207.

"Tidak termasuk angka jualan 206 Bestari yang telah dihentikan pengeluarannya, jualan kenderaan Peugeot oleh Naza pada 2009 berjumlah 1,419 unit," katanya pada satu taklimat untuk media di sini hari ini, sempena lawatan Timbalan Pengarah Urusan Peugeot, Nicolas Wertans.

Kumpulan Naza adalah pengimport dan pengedar utama jenama kereta terkenal seperti Ferrari, Peugeot dan Brabus.

Menyentuh tentang sasaran jualan kenderaan bermotornya akhir tahun ini, SM Nasarudin berkata, kumpulan itu berharap dapat mencapai 25,000 hingga 26,000 unit daripada 16,000 unit tahun lepas.

"Bagi tahun ini, Peugeot akan mula mengeksport model baru T33 yang akan dipasang di Gurun, ke Thailand dan Indonesia," katanya.

Selain mengeksport T33, Peugeot juga telah mula membesarkan pejabat rantau Aseannya di Petaling Jaya untuk menyelaras operasi bagi keseluruhan rantau Asia Pasifik.

Wertans berkata, Peugeot dan Naza merancang untuk menjadikan Malaysia hab pembuatannya bagi kereta pemanduan sebelah kanan di Asia dan mengeksport kenderaan Peugeot yang dipasang di kilang Naza di Gurun, ke Thailand dan Indonesia.

"Kami berharap dapat menambah agihan pasaran kami di Malaysia kepada tiga hingga lapan peratus daripada satu peratus sekarang," katanya.

Wertans juga mengumumkan identiti jenama baru Peugeot sebagai sebahagian daripada rancangan pembuat kereta Perancis itu untuk meningkat tiga anak tangga dalam pasaran kereta dunia menjelang 2015.

Pada masa ini, Peugeot menduduki tempat ke-10 dalam pasaran automotif global dari segi saiz.

Unit Naza, Nasim Sdn Bhd, yang mengedar kenderaan Peugeot di Malaysia, baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan penjenamaan semula semua cawangan dan wakil jualannya berikutan pengumuman identiti jenama global baru pembuat kereta itu.

Penjenamaan semula itu melibatkan penggunaan logo dan identiti jenama baru Peugeot di semua cawangan dan wakil jualan Nasim di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain