suria

Undang-Undang Media: Tidak Perlu Perubahan

PETALING JAYA: Kerajaan tidak perlu membuat sebarang perubahan dalam usaha mengawal media di negara ini.

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Dr. Abu Hassan Hasbullah berkata, sistem perundangan berkaitan media di Malaysia juga lengkap bagi mengatasi sebarang kesilapan atau masalah yang berkaitan dengan laporan yang diterbitkan.

"Undang-undang sudah ada untuk mensabitkan sesuatu perkara berhubung masalah berkaitan dengan laporan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

"Sebarang penambahan juga saya fikir adalah tidak wajar pada ketika ini kerana media adalah suara rakyat," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Abu Hassan mengulas kenyataan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang memberitahu media massa di negara ini masih perlukan kawalan bagi menghalang penyiaran laporan-laporan yang boleh memberi imej buruk terhadap kerajaan sehingga menjejaskan keharmonian dipupuk selama ini.

Dalam pada itu, Abu Hassan berkata, peranan media sebagai medium semak dan imbang kepada sesuatu perkara yang berlaku adalah penting dan perlu diambil kira.

Namun beliau menolak jika ada pihak yang menyatakan media di Malaysia terkongkong dalam melaporkan berita kepada masyarakat.

"Saya percaya bahawa media adalah sebagai satu sistem yang menguruskan perkara yang berlaku disekeliling kita. Laporan mereka juga adalah berteraskan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

"Media juga mewakili suara rakyat yang inginkan maklumat daripada pemimpin mereka," katanya.

Bagaimanapun beliau menolak sekeras-kerasnya laporan media yang berunsurkan provokasi dan fitnah dalam sistem akhbar di negara ini.

Ditanya mengenai media baru seperti blog, beliau menyifatkan kaedah terbaru itu memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia telah maju dan bergerak pantas dalam mencari alternatif melalui Internet.

"Ini menunjukkan rakyat kita telah maju dalam kepelbagaian maklumat yang terhidang kepada mereka," ujarnya.

Namun begitu, beliau positif rakyat negara ini sudah pandai untuk menilai laporan yang ada selain dapat membezakan laporan benar atau pun palsu.

Beliau juga menolak sekiranya media dipersalahkan sepenuhnya terhadap laporan yang berat sebelah melalui medium baru tersebut.

"Kita tidak boleh salahkan media semata-mata. Terdapat pelbagai faktor lain yang boleh kita kaitkan dengan masalah ini seperti faktor pendidikan, politik dan sebagainya," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Program Kewartawanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Rahmat Ghazali mempersoalkan kebebasan di tahap mana yang dikehendaki rakyat apala media melaporkan sesuatu berita.

Katanya, media mesti dikawal kerana jika kebebasan mutlak diberi kepada media dikhuatiri laporan yang dibuat akan berasaskan emosi semata terutama tentang isu-isu yang berkait rapat dengan politik.

"Kebebasan penuh tidak boleh dilakukan kerana ia pasti akan melibatkan emosi dalam laporan, namun kawalan penuh adalah tidak wajar.

"Sedikit ruang kebebasan perlu untuk mengimbangi sesuatu laporan," katanya.

Menurut Rahmat, keadaaan di Malaysia juga menjadi faktor kawalan itu perlu kerana masyarakat di sini adalah berbilang kaum dan agama.

"Di Singapura sebagai contoh, walaupun 89 peratus rakyatnya berbangsa Cina, kawalan media dan sistem Internet mereka adalah lebih ketat daripada Malaysia.

"Apatah lagi di Malaysia, kita perlu lebih sensitif dengan keadaan sekeliling kita untuk memastikan keharmonian berterusan. Kita tidak boleh terikut-ikut dengan idealogi barat yang begitu bebas dalam sistem media mereka dan akhirnya memakan diri mereka sendiri," ujarnya.

Menyentuh mengenai kebebasan menulis dalam internet terutamanya melalui blog, beliau mengakui medium tersebut memberi ruang yang luas kepada pembaca untuk mendapatkan maklumat yang tidak terdapat dalam akhbar arus perdana konvensional.

"Menurut kajian, 50 peratus rakyat Malaysia melayari Internet dan mungkin separuh daripada jumlah itu membaca laporan yang lebih 'terbuka' dan itu boleh memberi impak yang besar.

"Sudah tentu golongan yang menulis dalam blog ini tidak memikirkan akibat dalam penulisan mereka dan kita akan senang terpengaruh dengan laporan-laporan yang belum tentu kesahihannya," katanya.

Beliau turut memberitahu, lebih 50 peratus penulis blog di Malaysia tidak mahu mengikuti etika dalam penulisan di Internet.

Artikel Lain