suria

Anak Ikan Kelisa Bernilai RM1.5 Juta Dicuri

IPOH: Seorang pengusaha ikan kelisa kerugian RM1.5 juta apabila hampir 1,000 anak ikan tersebut dicuri di ladangnya di Tebuk Pancor, Bukit Merah, Semanggol, 120 kilometer dari sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Mat Fauzin Nayan berkata, kejadian disedari oleh pekerja ladang berkenaan pada jam 8.30 pagi semalam lalu menghubungi majikannya yang kemudian membuat laporan kepada pihak polis.

"Pengusaha berkenaan mendapati beberapa balang kaca dan akuarium yang mengandungi hampir 1,000 ekor anak ikan bernilai RM1.5 juta telah hilang dan terdapat kesan kawasan ladang itu dicerobohi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mat Fauzi berkata, anak ikan kelisa yang juga disebut Arowana dijual antara RM2,000 hingga RM5,000 seekor kepada pelanggan yang berminat.

Beliau berkata, suspek dipercayai lebih dari dua orang memasuki ladang berkenaan pada waktu tengah malam dengan menaiki kenderaan.

"Terdapat kesan balang botol pecah dan siasatan awal polis mengenalpasti suspek dipercayai orang dalam," kata Mat Fauzi.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 357 kerana menceroboh dan memecahkan bangunan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain