suria

Projek Hotel Dan Pangsapuri Bernilai RM63 Juta Mercu Tanda Baru Kelantan

KOTA BHARU: Kompleks membeli belah, pangsapuri dan hotel bernilai RM63 juta, yang akan dibina di pusat pembangunan baru KB Central, Jalan Hamzah di sini, akan menjadi mercu tanda baru bagi pembangunan negeri Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek berkenaan yang merangkumi pusat perniagaan dan hotel Tune Hotels.com itu juga bakal memberi impak yang besar dalam menarik industri pelancongan dan pelabur asing ke negeri ini.

"Projek pertama usaha sama HLK-Venture Sdn Bhd (HLK-Group) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang membabitkan pembinaan pangsapuri dan 175 bilik hotel bernilai RM63 juta itu dijangka siap dalam dua fasa bermula tahun ini hingga 2013," katanya pada majlis pecah tanah pembinaan projek itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias; Pengarah Urusan HLK-Group, Ting Tin Siang dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Hotels.com, Mark Lankester.

Ahmad berkata, pembinaan projek ini juga selaras dengan usaha kerajaan negeri melaksanakan penstrukturan semula bandar bandar Kota Bharu sebagai bandar yang dinamik dan kompetitif.

"Pembinaan lebih banyak pusat penginapan dan ruang niaga di Kelantan amnya dan Kota Bharu khasnya membuktikan kuasa membeli rakyat Kelantan semakin tinggi dan memperlihatkan masa depan yang memberangsangkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia, dapat mengadakan penerbangan terus dari Kelantan ke Malaysia Timur.

Sementara itu, Lankester berkata, kumpulan hotelnya setakat ini mempunyai lima rangkaian termasuk di Johor Bahru serta Miri dan Bintulu, Sarawak.

Selain itu, pihaknya bercadang untuk menambah hotel di Terminal Penerbangan Terbang Tambang Murah Lapangan Terbang Antabangsa KL (KLIA-LCCT), Pulau Pinang serta Kota Kinabalu dan Kuching, Sarawak.

"Kita juga menjangka mempunyai 44 rangkaian hotel ini di peringkat antarabangsa, seperti Thailand, China, Bangladesh dan India pada 2012," katanya.

Menurut Lankester, pemilihan Kelantan sebagai tumpuan pembinaan hotel di negara ini kerana ia mempunyai kelebihan tersendiri dari segi pelancongan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain