suria

Syor Clarence Gugur Guna Kalimah Allah Disambut Baik

PETALING JAYA: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom mengalu-alukan cadangan seorang penganut Kristian yang juga Presiden Majlis Jaksa Pendamai (JP) Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun yang meminta masyarakat Kristian negara ini menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah 'Allah' demi keharmonian dan keselamatan negara.

"Saya mengalu-alukan keinginan semua pihak yang ingin melihat ketenteraman, keamanan, kesentosaan dalam keadaan yang begitu harmonis.

"Saya percaya ia satu pemikiran yang baik dan saya mengharapkan ia bukan sekadar satu cadangan daripada satu pihak tetapi gabungan daripada pelbagai gereja yang ada," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali serta Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain melafazkan wakalah (perwakilan) bagi melantik tiga peguam dalam kes permohonan qazaf (tuduhan palsu) Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, petang tadi.

Barisan peguam terdiri daripada Zainul Rijal Abu Bakar, Roslizam Rahim dan Mohd Firdaus Mohamed Arifin.Semalam, Clarence yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah berkata, tuntutan itu harus dinilai semula berikutan bantahan umat Islam berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' oleh Herald-The Catholic Weekly.

Sambil menyambut baik cadangan Clarence, Jamil Khir berkata, pihak terbabit harus bukan sahaja bersedia memikirkan kebernasan cadangan tersebut bahkan sejarah agama Islam termasuk di Malaysia.

Katanya, mereka juga wajar mempertimbangkan bahawa penggunaan kalimah itu hanya oeh orang-orang Islam di Malaysia.

"Inilah antara cara-cara yang baik dan wajar kita ambil perhatian dan bersama menyegerakan pandangan-pandangan seperti ini," jelas beliau.

Ditanya mengenai komennya dinamakan salah seorang responden dalam kes permohonan qazaf (tuduhan palsu) Anwar, Jamil Khir menyifatkannya sebagai sebahagian proses undang-undang.

"Masing-masing punya hak untuk perundangan dan saya rasa elok perundangan ini berjalan, dan saya serahkan kepada peguam saya," katanya.

Pada 9 Julai 2008, Anwar membuat satu laporan qazaf terhadap Mohd Saiful di Unit Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan Jawi mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Menurut seksyen tersebut, sesiapa yang menuduh orang lain melakukan kesalahan seksual tanpa mengemukakan empat saksi lelaki atau ikrar (pengakuan) orang yang dituduh, boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada 27 Oktober tahun lalu dan bertempat di persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua, Jamil Khir menyatakan bahawa pendakwaan qazaf hanya akan dibuat selepas perbicaraan kes liwat Anwar selesai.

Bagaimanapun, pada 7 Januari lalu, Anwar yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi Syariah untuk meneruskan permohonan qazaf terhadap Mohd Saiful di pejabat pendaftar mahkamah berkenaan.

Tiga responden dinamakan, iaitu Shamsuddin sebagai responden pertama manakala Che Mat serta Jamil Khir masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Dalam notis permohonan qazaf itu, Anwar memohon perintah mahkamah supaya Shamsuddin menggunakan kuasa diberi mengikut Seksyen 58(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan 1993) dan hukum syarak bagi mendakwa Mohd Saiful, 25.

Anwar, 63, memohon Mohd Saiful didakwa atas kesalahan qazaf mengikut Seksyen 41 Akta Jenayah Syariah 1997 atau hukum syarak dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah mahkamah.

Beliau juga memohon mahkamah menggunakan kuasa mengikut Seksyen 244 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah bagi memastikan responden kedua dan ketiga tidak menghalang responden pertama menjalankan tugas serta tanggungjawab terhadap Mohd Saiful.

Artikel Lain