suria

Tempoh Bertenang 24 Jam Wujudkan Perasaan Kesepakatan Antara Parti

JELEBU: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata cadangan tempoh bertenang 24 jam sebelum pengundian akan memberikan suasana muhibbah dan kesepakatan di antara parti politik.

Beliau berkata cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tempoh bertenang itu sudah diapungkan kira-kira lima tahun lepas dan sekarang ia amat sesuai sekali dilaksanakan.

"Ini sangat baik, baik oleh kerana kita dapati dalam tempoh 24 jam sebelum pengundian kita harus menghormati ketenangan itu bagi kita memikirkan apa yang harus dilakukan semasa mengundi," katanya kepada pemberita selepas Pertandingan Akhir Nyanyian Lagu Lagu Melayu Asli Parlimen Jelebu hari ini.

Jika ada pihak yang membangkang, mereka itu tidak mempunyai jiwa perjuangan dan nisbah keharmonian kaum, kata Rais, yang juga Ahli Parlimen Jelebu.

Terdahulu, semasa berucap Rais menyarankan supaya orang Melayu mempelajari bahasa Cina dan Tamil.

Hari ini, kuasa terbesar dunia bukan lagi daripada kalangan negara barat sebaliknya negara China telah membuktikan kemajuannya dan India dilihat ke depan dalam teknologi komputer, katanya.

"Jadi tidak salah kalau kita boleh menyanyi sedikit lagu-lagu dalam bahasa ini... melalui persefahaman yang diwujudkan oleh 1Malaysia, tidak mustahil satu hari nanti orang Melayu boleh bertutur dalam bahasa-bahasa ini," katanya.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, katanya akan menganjurkan pertandingan lagu-lagu Malaysia di mana orang Melayu digalakkan menyanyi lagu dalam bahasa Cina, Cina menyanyikan irama Tamil atau sebaliknya tidak lama lagi.

"Masa depan ini milik kita bersama, nikmatilah muzik bersama, nak jadikan 1Malaysia kenyataan, kenalah hormat dan menilai satu-satu jurusan seni budaya kita," katanya.

Dalam pertandingan itu, Razali Ujod, 52, dari Kampung Peradong yang mewakili DUN Kuala Klawang berjaya menarik perhatian juri dan menjadi juara.

Beliau yang mendendangkan lagu "Burung Putih" dan "Ghazal Asmara" menewaskan 10 peserta lain sekaligus membawa pulang hadiah wang RM1,000, piala serta sijil penyertaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain