suria

Bantuan OKU Perlu Dinaikkan: Pemuda MIC

SHAH ALAM: Pemuda MIC Selangor hari ini mengesyorkan supaya bantuan saraan bulanan berjumlah RM350 bagi orang kurang upaya (OKU) di Selangor dan Wilayah Persekutuan dinaikkan kepada RM500.

"Ini kerana kadar RM350 sebulan tidak cukup untuk menampung sara hidup mereka yang menetap di Selangor dan Wilayah Persekutuan," kata Ketua Pemuda MIC Selangor, Shanker Raj Ayenger.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Adnan Abu Bakar, di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua 22 bahagian Pemuda MIC di Selangor akan digerakkan mulai Januari tahun hadapan untuk bersama-sama JKM dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri membantu golongan sasaran daripada kalangan masyarakat India di Selangor.

"Andaian bahawa mereka yang memiliki televisyen dan Astro tidak layak mendapat bantuan perlu diteliti, kerana ada antara pemohon bantuan mereka yang mempunyai perkhidmatan Astra itu dibiayai oleh anak-anak mereka tetapi pendapatan isi rumah mereka masih di bawah garis kemiskinan RM720 yang ditetapkan oleh JKM," kata Shanker.

Beliau berkata, MIC akan turun ke peringkat akar umbi di seluruh Selangor bagi memastikan tiada golongan miskin yang tercicir daripada mendapat bantuan JKM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain