suria

149 Syarikat Didakwa Tahun Ini Abai keselamatan Pekerja

KUALA LANGAT: Sebanyak 149 syarikat yang mengendalikan jentera berat seperti dandang stim, pengandung tekanan tak berapi, lif dan kren bergerak didakwa di mahkamah tahun ini atas kesalahan mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja.

"Jumlah ini merangkumi kes yang sudah selesai dan masih lagi dalam prosiding mahkamah," kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, dan menambah jumlah itu membabitkan kilang tempatan dan antarabangsa.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Kilang Golden Jomalina Food Industries Sdn Bhd di sini hari ini, beliau berkata kementerian melakukan sebanyak 114,000 pemeriksaan ke atas syarikat yang mengendalikan peralatan mesin dan jentera bagi tahun ini.

Sejumlah 6,700 pemeriksaan sahaja terhadap syarikat yang mengendalikan dandang stim, kata Maznah yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Katanya, menurut statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), jumlah kes kemalangan di tempat kerja yang dilaporkan pada tahun ini adalah sebanyak 2,065, menurun sebanyak 470 kes berbanding tahun lepas.

"Jumlah kes kemalangan maut di tempat kerja yang dicatatkan tahun ini ialah 192 kes, menurun sebanyak 47 kes berbanding tahun lepas," katanya.

Mengenai kes letupan dandang stim di Sandakan, Sabah yang mengorbankan dua orang pekerja 4 Disember lepas, Maznah berkata unit forensik JKKP masih menyiasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain