suria

YSB Peruntukkan RM1.2 Juta Pada Projek Titian Bistari

ALOR SETAR: Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) menyediakan peruntukan RM1.2 juta untuk meneruskan Projek Titian Bistari tahun depan dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pengerusinya, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim berkata, peruntukan itu meningkat dari tahun ke tahun kerana peningkatan jumlah peserta program dan juga kos pembelajaran.

"Peningkatan kos ini tidak menghalang YSB untuk terus menyumbang kerana jumlah pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran dalam UPSR juga meningkat setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang Projek Titian Bistari YSB di sini.

Menurut beliau, tahun lepas 100 orang pelajar mencatatkan keputusan A dalam semua mata pelajaran peperiksaan UPSR, manakala tahun ini jumlahnya meningkat kepada 102 orang.

"YSB juga akan memberi elaun RM30 sebulan kepada pelajar cemerlang sehingga mereka tamat tingkatan lima," katanya.

Puteri Intan Safinaz berkata, sejak dilancarkan pada 1999, ada juga pelajar yang mengikuti program berkenaan yang berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan kejuruteraan.

"Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh YSB dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah itu merupakan program jangka panjang YSB yang dilaksanakan untuk memperkasakan pendidikan luar bandar.

"Projek ini dirangka untuk membantu pencapaian murid-murid sekolah rendah dari keluarga kurang mampu di kawasan pendalaman negeri dan mempunyai potensi dalam pelajaran," katanya.

Beliau berkata, pada tahun pertama pelancaran projek itu, hanya 10 sekolah melibatkan 400 pelajar sahaja yang terlibat dan sehingga tahun ini jumlah itu meningkat kepada 2,840 orang melibatkan 24 sekolah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain