suria

Warga P.Pinang Sambut Tahun Baru Tanpa Insiden Tidak Diingini

PULAU PINANG: Beribu-ribu masyarakat setempat dan pelancong mengalu-alukan ketibaan tahun baru 2010 di Pulau Pinang malam ini dalam suasana meriah dan penuh bersemangat sambil menyaksikan pertunjukan bunga api.

Namun begitu, anggota polis dan pasukan keselamatan ditugaskan di lokasi strategik seperti Esplanade, Persiaran Gurney, Queensbay Mall dan Auto-city di Juru bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini.

Sekatan jalan dilakukan di beberapa jalan utama selain pemantauan dari udara menggunakan helikopter selepas insiden buruk yang berlaku menjelang sambutan Krismas apabila sekumpulan orang berpesta yang bersikap ganas, menyerang beberapa anggota Rela dan petugas media.

Orang ramai yang berhimpun di Gurney Plaza pula dihiburkan dengan pertunjukan kebudayaan, persembahan kugiran, pertunjukan fesyen dan permainan.

Kira-kira 2,000 biji belon yang disertakan dengan kad ucap selamat dilepaskan sempena pelancaran rasmi Tahun Melawat Pulau Pinang 2010-2012 oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng yang telah pun bercakap mengenai jangkaan pada 2014.

"Kami menetapkan sasaran untuk melihat kira-kira 10 juta pelancong melawat negeri ini pada 2014 dengan kempen bertemakan 'Penang Has It All'," katanya ketika berucap.

Di Esplanade, penganjur berjaya dalam percubaan mereka untuk memecahkan rekod Guinness Book of World Records bagi kategori kumpulan tarian terbesar apabila 12,000 penari membuat persembahan mereka tetapi rekod itu masih belum disahkan.

Rekod terdahulu dipegang oleh sekumpulan 7,700 penari di Cebu, Filipina yang mengambil bahagian dalam rutin segerak tanpa henti selama 10 minit pada Jun tahun ini.

Di Queenbay Mall, terdapat persembahan pentas oleh superstar dari Taiwan, The Power Station, Tank dan artis tempatan yang lain.

Di tanah besar pula, orang ramai yang meraikan ketibaan 2010 berkumpul di Auto-city di Juru untuk menyaksikan persembahan pentas yang diikuti pertunjukan bunga api.

Sambutan di empat venue kiraan detik utama itu tamat tanpa kejadian tidak diingini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain