suria

Penganggur Didapati Salah Rogol, Bunuh Kanak-Kanak

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati seorang penganggur bersalah atas tuduhan merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di ladang kelapa sawit berdekatan rumahnya di Taman Rhu, Tikam Batu, Sungai Petani, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd Basrah Akhbar, 40, terlepas dari tali gantung selepas diperintah ditahan di hospital mental bagi tempoh mengikut perkenan Sultan Kedah kerana didapati mengalami masalah sakit jiwa.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap dua pertuduhan terhadap tertuduh dan mendapatinya bersalah.

Mohd Bashrah didapati bersalah membunuh dan merogol Siti Syazwani Ahmad Dusukhi di sebuah ladang kelapa sawit di Tikam Batu, dekat Sungai Petani, antara pukul 2 petang dan 4 petang, 21 Disember 2004.

Tertuduh, dari nombor 412, Lorong Rhu 3, Taman Rhu, Tikam Batu, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 376 kanun yang sama atas tuduhan merogol.

Terdahulu itu, semasa penghujahan, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azari Harun berkata, sampel ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) Mohd Bashrah pada kemaluan Syazwani merupakan bukti paling nyata untuk membuktikan tertuduh telah melakukan kesalahan terhadap mangsa.

Katanya, walaupun saksi pembelaan berkata tertuduh berada di rumah ketika kejadian berlaku tetapi ujian DNA menunjukkan tertuduh berada bersama mangsa.

Peguam bela Pyara Singh berkata, Mohd Bashrah mempunyai alibi untuk membuktikan bahawa anak guamnya berada di rumah antara pukul 2 petang dan 4 petang pada hari kejadian.

"Pakar psikiatri juga memberi keterangan di mahkamah bahawa tertuduh mengalami masalah mental dan telah mendapatkan rawatan beberapa kali daripada beliau sebelum kejadian itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain