suria

Dr Mahathir Gembira Langkawi Pesat Membangun

LANGKAWI: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan perasaan gembira kerana kehidupan penduduk Langkawi bertambah baik hasil pembangunan pesat di pulau legenda itu.

Menurutnya, beliau mendapati banyak rumah yang daif serta serba kekurangan kini berubah kepada rumah batu dalam tempoh beberapa tahun pembangunan ini sebahagian besarnya kerana Langkawi mempunyai kilang pengeluar simen di Teluk Ewa, Ayer Hangat.

"Ini merupakan sebahagian daripada pembangunan pesat yang dialami di Langkawi dan turut dirasai penduduk," katanya pada majlis jamuan makan malam bagi mengutip derma untuk tabung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Daerah Langkawi di sini malam tadi. Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir turut menerima cek sumbangan daripada pelbagai pihak berjumlah RM65,000 untuk disumbang kepada tabung Pemadam Langkawi.

Beliau berkata, dengan kehadiran pelancong ke Langkawi sebanyak dua juta orang setahun dan jika seorang membelanjakan RM500, hasil pendapatan yang boleh mencecah sehingga RM1 bilion itu akan dapat dimanfaatkan oleh mereka yang terbabit dalam industri pelancongan.

Dr Mahathir berkata, masih ada ruang untuk membangunkan Langkawi dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan termasuk cadangan pertukaran barangan di pelabuhan Teluk Ewa, Ayer Hangat.

Terdahulu, beliau menyarankan ibu bapa dan guru-guru agama memberi kesedaran kepada anak-anak dan pelajar mengenai bahaya najis dadah.

Katanya, ini penting bagi menanam rasa benci terhadap najis dadah yang menjadi musuh utama negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain