suria

Buku 50 Restoran, Gerai Terbaik Bakal Terbit Tahun Depan

KUALA LUMPUR: 50 restoran dan gerai makanan terbaik yang terpilih di seluruh negara akan disenaraikan dalam buku 'Malaysia's Best Taste 50 Series' yang bakal diterbitkan pada Julai tahun depan.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, restoran dan gerai yang akan tersenarai dalam buku tersebut dipilih berdasarkan maklum balas orang ramai melalui laman web www.fabfood1Malaysia. com.my.

“Kesemua tempat makan yang akan tersenarai disyorkan oleh rakyat sendiri apabila melayari laman web itu.

"Sekumpulan juri akan dihantar tempat-tempat itu merasa makanan dan melihat keadaan kedai makan itu," katanya.

Menurut beliau, semasa menilai, pihak juri akan mengambil kira rasa makanan, harga serta pakej yang ditawarkan dan suasana kedai.

“Ini adalah salah satu langkah untuk menggalakkan para penjaja meningkatkan mutu dan rasa makanan yang mereka jual di warung atau gerai mereka.

“Selain itu, ia juga sejajar dengan hasrat kementerian untuk meningkatkan jumlah pelancong tempatan dan dari luar negara untuk keluar makan,” katanya selepas melancarkan ‘Karnival Fabulous 1Malaysia’ di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Selain itu katanya, lebih 18,000 tempat makan disyorkan pada laman web tersebut. “Pada tahun ini, fokus kami adalah kepada gerai-gerai dan restoran yang menyajikan makanan tempatan seperti nasi lemak, laksa dan bak kut teh kerana kami ingin mempromosikan masakan asli rakyat Malaysia.

“Mungkin pada tahun hadapan pula, tempat makan yang menyajikan makanan seperti roti canai akan diberi keutamaan. Dan kesemua makanan yang terpilih akan disenaraikan dilaman web itu pada bulan Januari depan,” katanya.

Katanya, kementeriannya turut menyediakan hadiah istimewa kepada restoran terbaik diantara 50 yang tersenarai.

“Senarai itu juga akan diubah dari masa ke semasa bagi memberi peluang kepada tempat makan lain yang telah memperbaiki mutu makanan mereka untuk disenaraikan.

"Ini juga adalah untuk mengeluarkan nama restoran atau gerai yang tidak menjaga kualiti dan harga makanan,” katanya.

Sementara itu katanya, sebanyak RM8.7 bilion dibelanjakan oleh pelancong untuk makanan dan minuman, iaitu 18.5 peratus daripada perbelanjaan mereka pada tahun 2008.

“Kami ingin meningkatkan peratusan itu kepada 20 peratus walaupun sektor perlancongan di seluruh dunia terjejas akibat kegawatan ekonomi,” katanya.

Artikel Lain