suria

Wakil Tetap Malaysia Di PBB Perlu Ikut Prosedur Sebelum Mengundi: Kohilan

KUALA LUMPUR: Wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Datuk Mohd Arshad M.Hussain dipanggil pulang untuk memberi penjelasan mengapa beliau mengundi menentang resolusi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) terhadap program nuklear Iran tanpa mendapat 'lampu hijau' Wisma Putra.

Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, tindakan memanggil pulang wakil tetap Malaysia di PBB itu tiada kaitan dengan desas-desus kononnya Malaysia menyokong resolusi berkenaan.

Kohilan menjelaskan bahawa Mohd Arshad perlu mengikut prosedur dengan memaklumkan kepada kementerian terlebih dahulu mengenai pengundian tersebut.

Timbalan Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar yang menyebut Mohd Arshad yang beribu pejabat di Vienna, Austria itu dipanggil pulang kerana tindakannya menentang resolusi IAEA terhadap program pembangunan nuklear Iran.

"Undi menentang resolusi itu bukanlah perkara pokok tetapi apa yang penting ialah beliau perlu mengikut prosedur kerajaan dengan memaklumkan kepada menteri dan perdana menteri terlebih dahulu sebelum undian dibuat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Kita semua memang sudah sedia maklum Malaysia menentang sekeras-kerasnya sebarang program nuklear yang digunakan mana-mana negara. Bagaimanapun kita memanggil pulang wakil tersebut hanyalah untuk mendapatkan penjelasan terperinci beliau dan bukan kerana Malaysia menyokong resolusi itu," tegasnya.

Kohilan berkata, kementerian dijangka bertemu Mohd Arshad minggu depan berhubung perkara itu.

Lembaga pengarah IAEA pada 27 November lalu meluluskan resolusi yang dibentangkan Jerman iaitu bagi membantah program pembangunan nuklear Iran.

Dua puluh lima negara mengundi menyokong resolusi itu, enam negara tidak mengundi manakala tiga negara yang menentang ialah Malaysia, Venezuela dan Cuba. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain