suria

Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 Dikuatkuasa

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menguatkuasakan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 (Akta 686) mulai 28 Disember ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata di bawah Akta itu, sebanyak 30,000 spesis flora, fauna dan hidupan marin akan dikawal dan diperuntukan sebagai spesis terjadual.

"Akta ini adalah terpakai di seluruh negara dan pelantikan Pihak Berkuasa Pengurusan berdasarkan bidang tanggungjawab dan kawasan masing-masing," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata objektif penguatkuasaan Akta itu antara lain adalah untuk mengawal perdagangan antarabangsa bagi spesis flora dan fauna yang tersenarai di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITEs).

"Akta 686 ini merupakan pelengkap dan tambahan kepada perundangan sedia ada dan tidak sedikit pun mengurangkan kuasa perundangan domestik yang lain. Sebelum ini, perundangan kita hanya mengawal ekspot atau impot fauna dan tidak meliputi flora dan hidupan marin. "Antara perkara yang dianggap menyalahi peruntukan di bawah Akta ini ialah mengimport dan mengeksport spesis terjadual tanpa permit daripada Pihak Berkuasa Pengurusan yang mana orang perseorangan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Uggah berkata pihak berkuasa pengurusan yang telah diperuntukan ialah Jabatan Pelindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jabatan Perikanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dan Jabatan Pertanian bagi Semenanjung Malaysia.

Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perikanan Sabah akan memantau negeri Sabah manakala Jabatan Perhutanan Sarawak dan Perbadanan Perhutanan Sarawak diperuntukkan bagi negeri Sarawak, katanya.

Beliau berkata Spesis Terjadual yang baru boleh didapati di laman web CITES dan laman web Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan kerajaan akan memberi tempoh enam bulan bagi sesiapa yang memelihara atau memiliki spesis terjadual untuk mendaftar dan mendapatkan permit berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain