suria

Usaha Kerajaan Bantu Kaum Penan Bukan Cubaan Populis

BARAM:Usaha kerajaan untuk membantu masyarakat minoriti Penan di Sarawak bukan satu cubaan untuk menjadi popular tetapi satu tanggungjawab untuk memastikan tiada rakyat terpinggir di Malaysia, kata Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan pusat telah membuktikan komitmen mereka membantu masyarakat Penan tidak pernah luntur berbanding usaha pihak-pihak tertentu yang datang secara bermusim kononnya untuk mempertahankan kaum berkenaan.

"Orang lain datang ke sini hanya bercakap (menghasut) sahaja dengan orang Penan tetapi tidak ada program (pembangunan). Kita ada program seperti E-Beruang dan E-Jekitan (program teknologi informasi dan komunikasi desa) supaya orang Penan dapat maju seperti orang lain di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sijil kelahiran dan MyKad yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Long Kevok, sebuah penempatan Penan di sini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan yang juga Anggota Parlimen Baram.

Abang Johari yang mewakili Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam majlis itu berkata beliau sendiri pernah menjadi menteri yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal Penan terlibat dalam penubuhan Pusat Perkhidmatan Penan di negeri ini. Katanya menerusi penubuhan pusat-pusat sedemikian yang antaranya terletak di Long Kevok dan Batu Bungan di daerah Baram, Lusong Laku di daerah Belaga dan Long Napir di daerah Limbang, kerajaan negeri telah berjaya membawa sebahagian besar dari masyarakat Penan yang secara tradisinya hidup berpindah randah untuk tinggal tetap.

Menurutnya penubuhan pusat sedemikian telah membolehkan kerajaan menubuhkan sekolah, kemudahan kesihatan serta kemudahan-kemudahan lain yang telah dapat meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Penan.

"Selepas kira-kira 20 tahun, program ini juga telah melahirkan 28 orang graduan universiti di kalangan masyarakat Penan dan mungkin untuk 10 tahun lagi, kita akan dapat melahirkan 50 orang lagi graduan Penan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain