suria

Lelaki Menyamar Pegawai Polis Pangkat ASP Ditahan

KUCHING: Seorang lelaki yang mengaku kononnya beliau seorang pegawai polis berpangkat ASP ditangkap oleh orang ramai di Jalan Paatinggan, Satok di sini pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Pauzi Bujang berkata suspek dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya lapan kes menipu di sekitar bandaraya sejak dua bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, suspek yang berusia 37 tahun berasal dari sini dikatakan bertemu dengan salah seorang mangsa kes tipu semasa dia sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak.

Suspek yang memakai baju yang mempunyai logo polis cuba melarikan diri apabila mangsa mengecamnya, namun suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang awam di stesen minyak tersebut dan dibawa ke Balai Polis Sungai Maong. Polis turut menemui kad kuasa polis dalam dompet suspek.

Pauzi berkata suspek biasanya menjalankan kegiatan menipu dengan memakai baju yang mempunyai logo polis dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis berpangkat ASP dari Balai Polis Sungai Maong kepada mangsa.

"Suspek akan menunjukkan kad kuasa polis kepada mangsa sebelum menawarkan barangan elektronik seperti komputer, komputer riba dan telefon bimbit dengan harga yang murah," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata apabila mangsa menyerahkan wang yang ditetapkan, suspek akan meminta mangsa menunggu di balai-balai polis yang berdekatan untuk mendapatkan barangan elektronik, namun suspek akan terus menghilangkan diri.

Pauzi berkata suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. BERNAMA

Artikel Lain