suria

Undang-Undang Kecil PBT Yang Usang Wajar Dipinda, Kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelbagai undang-undang kecil yang dipakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini wajar dipinda atau diubahsuai jika ianya didapati sudah usang atau tidak sesuai dengan perkembangan semasa.

Beliau berkata ini penting ke arah memperkenalkan cara-cara terbaru untuk melaksanakan tanggungjawab PBT secara lebih berkesan lagi.

"Mengenai kajian undang-undang kecil yang sudah lama dipakai itu...satu perkara yang harus diberi perhatian," katanya semasa merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 serta Persidangan Dwitahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Penguasa-penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) ke23 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas ucapan aluan oleh presiden Anulae Semenanjung Malaysia Azih Muda bahawa undang-undang kecil dilaksanakan PBT di negara ini perlu dikaji serta diseragamkan.

Muhyiddin berkata sebahagian besar undang-undang kecil PBT berada di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri, dan menurutnya beliau menyerahkan kepada pihak ini untuk mengkajinya dan jika ada yang berkaitan dengan kerajaan Persekutuan, ia boleh dibawa kepada perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mengenai saranan Azih agar peruntukan kepada PBT ditambah daripada RM300 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) kepada RM3 bilion dalam RMK10, Muhyiddin berkata memang peruntukan tertentu disalurkan kepada PBT, walaupun negara menghadapi impak kemelesetan ekonomi dunia.

"Walaupun kita sedar (peruntukan itu) tidak besar tapi ia diguna sebaik mungkin," katanya.

Mengenai ulasan Azih bahawa pihaknya tidak puas hati dengan prestasi syarikat-syarikat swasta yang mengendalikan kerja pelupusan sampah dan pembersihan awam, Timbalan Perdana Menteri berkata sebahagian besar mereka memang mengusahakannya dengan baik tetapi memang wujud beberapa kelemahan.

Katanya kerajaan pusat mahu semua pihak yang diberi tanggungjawab ini melaksanakannya sebaik mungkin kerana rakyat mahu perkhidmatan yang berkesan dan bukannya sesuatu yang membebankan mereka.

"Ini pasti sesuatu yang dekat dengan hati rakyat. Rakyat mahu hidup dalam keadaan bersih sebab itu saya mohon kerjasama semua pegawai mahupun penjawat awam PBT memberi penekanan supaya rakyat sentiasa rasa terbela," katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata peranan PBT adalah penting dalam mewujudkan peluang dan mengeluarkan lesen perniagaan kepada penjawat awam yang diberi kebenaran untuk berniaga di luar waktu pejabat bagi menambah pendapatan dalam masa keadaan ekonomi sekarang.

"Kita lihat PBT dalam situasi sekarang amat penting sama ada secara langsung dan tidak langsung peranan PBT boleh memberi kesan dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar," katanya.

Muhyiddin juga berkata PBT adalah ejen utama kerajaan dalam melaksanakan enam bidang keberhasilan utama negara (NKRA).

Ia adalah mengurangkan kadar jenayah, meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, memerangi rasuah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dan menambahbaik pengangkutan awam.

Katanya PBT bukan sahaja rapat dan dekat dengan rakyat malah PBT yang sentiasa menjadikan agenda kerajaan sentiasa dalam dampingan rakyat jelata.

"Sesungguhnya harapan kerajaan adalah untuk melihat warga PBT sebagai penjawat awam yang menjadi front liner (barisan hadapan) kepada kehidupan rakyat keseluruhannya, mempunyai budaya kerja berprestasi tinggi, sentiasa memperkukuhkan integriti dalam pembudayaan kerja yang mengutamakan disiplin," katanya.

Katanya kecekapan pengurusan dan sistem penyampaian PBT yang mesra rakyat adalah selaras dengan Gagasan "1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

Katanya slogan dan konsep yang diperkenalkan kerajaan tidak akan memberikan apa-apa makna sekiranya tidak diterjemah dalam bentuk budaya kerja positif dan amalan murni di kalangan warga PBT dan penjawat awam keseluruhannya.

Katanya sistem penyampaian perkhidmatan awam juga perlu cekap bagi mengurangkan peluang berlakunya rasuah.

"Malaysia perlu tegas dan berusaha lebih gigih membanteras rasuah dan menegakkan integriti," katanya. BERNAMA

Artikel Lain