suria

Model Pencapaian Subjek Terbaik UPSR Diterap Ke Semua Sekolah

BANDUNG: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap mahu kajian terperinci pembelajaran dan pengajaran Matematik dan Sains di sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dikenal pasti untuk diterapkan ke semua sekolah.

Beliau berkata berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan baru-baru ini, pencapaian sekolah-sekolah itu dalam subjek Matematik dan Sains lebih baik berbanding sekolah-sekolah lain dan merupakan aspek yang menarik untuk dikaji.

"Sehubungan ini, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran supaya membandingkan keputusan sekolah kebangsaan dengan jenis kebangsaan secara terperinci.

"Bagi mata pelajaran Matematik dan Sains ternyata keputusan yang lebih baik dicatatkan oleh sekolah kebangsaan Cina dan mungkin model pembelajaran serta pengajarannya boleh diterapkan di sekolah kebangsaan," katanya pada sidang akhbar di akhir lawatan dua harinya ke sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata secara umumnya prestasi keseluruhan UPSR meningkat, tetapi perbandingan untuk tujuan memperbaiki prestasi itu boleh dilakukan berpandukan beberapa sekolah yang lebih cemerlang.

Kajian dan perbandingan itu, katanya boleh juga dibuat berdasarkan perbezaan keputusan UPSR murid lelaki dengan perempuan, mahu pun antara sekolah bandar dengan luar bandar dengan tujuan analisisnya dimanfaatkan bagi merapatkan jurang yang ada. BERNAMA

Artikel Lain