suria

Badan Peguam Pulau Pinang Bantah Lupusan Kes Minimum Sebagai KPI Untuk Kehakiman

PULAU PINANG: Jawatankuasa Peguam Pulau Pinang hari Jumaat dengan sebulat suara membantah pelupusan jumlah kes minimum sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menilai prestasi hakim, oleh kerana ini mengorbankan kualiti pentadbiran keadilan semata-mata mahukan kepantasan.

Pengerusinya Mureli Navaratnam berkata, petunjuk lain seperti temperamen kehakiman, pendengaran adil dan saksama dan mutu penghakiman yang juga merupakan aspek penting pentadbiran kehakiman perlu lebih ditekankan.

Beliau berkata oleh kerana kekurangan dalam pelaksanaan sistem trek pantas yang baru, Badan Peguam Pulau Pinang pada mesyuarat agung luarbiasanya (EGM) di sini hari ini meluluskan tiga resolusi berhubung perkara itu.

Dalam kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat itu, Mureli berkata Badan Peguam Pulau Pinang akan segera menghantar kepada Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dan pihak berkuasa berkenaan butiran sebenar, contoh dan gambaran tentang bagaimana sistem dan arahan baru mahkamah itu menjejas pentadbiran keadilan.

"Ini telah mengakibatkan kesulitan dan ketidakadilan kepada orang ramai dan anggota Badan Peguam," kata beliau.

Memandangkan demikian, beliau berkata Badan Peguam Pulau Pinang menggesa Jawatankuasa Peguam Pulau Pinang membincangkan isu ini dengan serius dengan Ketua Hakim Negara dan pihak berkuasa berkenaan, bagi mencari jalan bekerjasama dengan badan kehakiman untuk menambahbaik pentadbiran keadilan tanpa mengorbankan keadilan kepada litigan.

Mureli berkata Jawatankuasa Peguam Pulau Pinang mengadakan pertemuan dengan Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Pengurus bagi Mahkamah Pulau Pinang, Datuk James Foong, bagi membincangkan rungutan para anggota Badan Peguam Pulau Pinang yang membawa kepada tindakan mengadakan EGM pada hari ini. BERNAMA

Artikel Lain