suria

Ahli Perniagaan Mati Selepas Disamun Dua Hari Lepas

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) Datuk Patrick Wong meninggal dunia semalam selepas dua hari dimasukkan ke hospital akibat cedera parah setelah terjatuh dari tingkat satu banglonya.

Patrick terjatuh ketika cuba keluar dari rumahnya untuk mendapatkan bantuan apabila dua lelaki memecah masuk banglo dua tingkatnya itu di Lorong Kemaris 1, Bukit Bandaraya, Bangsar, di sini.

Patrick, 57, meninggal dunia kira-kira pukul 9.45 pagi di Pusat Perubatan Pantai dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam kejadian samun itu, anak perempuan dan pembantu rumah yang berada di dapur didatangi tiga lelaki bersenjata parang.

"Seorang suspek menunggu di tingkat bawah manakala dua lagi naik ke tingkat atas. Ketika itu mangsa berada dalam bilik komputer manakala anak lelakinya sedang mandi di tingkat sama.

"Kami percaya mangsa cuba lari daripada suspek tetapi telah terpijak 'railing' tingkap sebelum terjatuh ke tingkat bawah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan "Muhibah Karaoke Remaja bertemakan 1Malaysia" di sini semalam.

Ku berkata polis percaya motif sebenar suspek adalah untuk merompak namun mereka membatalkan hasrat itu selepas mangsa terjatuh.

Suspek melarikan diri bersama dompet dan telefon bimbit kepunyaan anak perempuan mangsa yang berumur 25 tahun serta wang tunai RM300.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Patrick, dilantik sebagai Presiden MBAM untuk penggal Jun 2006 hingga Jun 2008 dan telah berusaha ke arah memperkukuh dan membina MBAM serta industri pembinaan.

Beliau memainkan peranan aktif dalam meningkatkan keanggotaan MBAM.

Dengan usaha berpasukan, Patrick dan anggota Majlis MBAM berjaya menggalakkan kontraktor bumiputera, kontraktor perkhidmatan binaan serta pembekal dan pengeluar bahan binaan untuk menjadi anggota persatuan itu. BERNAMA

Artikel Lain