suria

Percikan Darah Sampai Ke Siling, Saksi

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat dalam kes pembunuhan anggota keluarga sendiri pada Hari Raya tahun lepas, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa kesan percikan darah berada di seluruh rumah hinggakan boleh dilihat dari dinding hinggalah ke siling.

ASP R. Ananthan berkata darah itu terdapat pada bahagian ruang tamu serta bilik utama dan lantai rumah dan kelihatan basah seolah-olah baru dicuci tetapi terdapat bau seperti ada sesuatu yang mati.

Ananthan berkata beliau telah merampas beberapa peralatan yang dijadikan senjata pembunuhan seperti topi keledar, kayu dan batang mop.

Katanya menerusi rakaman video yang dirakam menerusi telefon bimbit tertuduh ketiga Muhammad Nizam Mohd Ibrahim, jelas kelihatan dua biji topi keledar (yang dijadikan barang kes) dipenuhi darah dan juga kaki meja yang patah berada berhampiran kedua-dua mangsa.

Bagaimanapun ketika ditanya peguam Supramaniam Kasia Pillay, yang mewakili kesemua tertuduh, sama ada terdapat kesan cap jari pada barang-barang itu, Ananthan berkata: "Tidak ada."

Menjelaskan mengenai percikan darah di bilik utama itu, Ananthan memberitahu bahawa ia adalah milik anak mangsa, Muhammad Kamil Mohd Ibrahim, 15, kerana hanya dia seorang yang dipukul di dalam bilik itu.

Ananthan, merupakan saksi ke-23 pendakwaan dalam kes melibatkan Muhammad Ilyas Abdul Razak, 22, dan adiknya Muhammad Fauzi, 21, serta sepupunya Muhammad Nizam yang didakwa bersama-sama membunuh Mohd Ibrahim Kader Mydin, 48, dan Rosina SM Mydin Pillay, 42, di rumah No 57C, Blok A, Flat Seri Sarawak, Jalan Kenanga, di sini pada 1 Oktober 2008 antara pukul 12 tengah hari dan 8 malam.

Muhammad Ilyas dan Muhammad Fauzi merupakan anak saudara kedua-dua mangsa manakala Muhammad Nizam adalah anak kandung mereka.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Selain itu, Ananthan berkata di dalam rumah itu juga terdapat kalendar yang mempunyai wajah pemimpin kumpulan Al Arqam, Ashaari Muhammad serta dua potret pemimpin kumpulan yang diharamkan itu tergantung di bahagian ruang tamu dan di bilik utama.

Yang turut dijumpainya beberapa buah buku yang berkaitan dengan ajaran Al Arqam.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis ketika pemeriksaan utama apakah yang difikirkannya apabila melihat beberapa barang berkaitan Ashaari di rumah itu, Ananthan berkata: "Saya rasa keluarga ini mengikuti dan terpengaruh dengan ajaran Ashaari."

Beliau turut memberitahu bahawa berdasarkan pemeriksaan suhu badan kedua mayat pada 11.55 malam, oleh pakar patalogi Dr Siew Sheue Sheng, didapati kedua-dua mangsa meninggal dunia antara enam dan tujuh jam sebelumnya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah bersambung Isnin. BERNAMA

Artikel Lain