suria

Lelaki simbah asid dihadap ke mahkamah atas tuduhan membunuh

PULAU PINANG: Seorang lelaki berumur 53 dihadapkan ke mahkamah majistret di sini atas tuduhan membunuh isterinya dengan menyimbah asid, serta mengakibatkan kecederaan terhadap anaknya.

Tan Teik Siew, seorang pegawai pelesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang, dituduh membunuh dengan menyimbah asid ke arah isterinya Cheong Swee Lin, 50, di rumah mereka di No.146 D, Jalan Batu Lanchang di sini pada pukul 3 pagi 24 Okt lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori. Tiada pengakuan direkodkan.

Terdahulu peguamnya R. Dev Chander memohon kepada mahkamah supaya merujuk anak guamnya ke hospital psikiatrik untuk pemerhatian.

Timbalan Pendakwa Raya Mukhriz Mat Rus memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengkaji kertas siasatan untuk menilai sekiranya tertuduh adalah seorang yang benar-benar waras.

Majistret Noor Aini Yusof bagaimanapun menolak permohonan peguam dan menetapkan sebutan kes itu, menunggu keputusan bedah siasat.

Di Mahkamah Sesyen kemudiannya pula Tan, yang berpakaian kasual dengan kemeja T berkolar, berseluar pendek dan berselipar, didakwa dengan kesalahan menyebabkan kecederaan teruk terhadap anak perempuannya Tan Hui Linn, 17.

Beliau dituduh menyerang Hui Linn dengan menyimbah asid ke muka dan bahagian hadapan badannya di rumah mereka di No.146 D, Jalan Batu Lanchang kira-kira pukul 3 pagi pada 24 Okt.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun itu, atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan itu.

Hakim Roslan Hamid tidak membenarkan ikat jamin memandangkan Tan masih menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan menetapkan 4 Disember ini sebagai tarikh sebutan, yang menunggu laporan perubatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain