suria

Ahli Parlimen Sabak Bernam dan pembantunya mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan rasuah

Ahli Parlimen Sabak Bernam Abdul Rahman Bakri (kanan) keluar daripada Mahkamah Seksyen di sini, hari ini selepas didakwa ke atas lapan pertuduhan tuntutan palsu yang dilakukan semasa menyandang jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar, tahun lepas. Abdul Rahman dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam dari 21 Januari 2008 hingga 12 Februari 2008 dan didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama.-Foto BERNAMA.

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Abdul Rahman Bakri hari ini mengaku tidak bersalah ke atas lapan pertuduhan rasuah kerana mengemukakan invois yang mengandungi butiran palsu bagi melaksanakan program yang sebenarnya tidak diadakan ketika beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Abdul Rahman sebelum ini merupakan ADUN Ayer Tawar sebelum menang kerusi Parlimen Sabak Bernam dalam pilihan raya umum yang lalu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam pada 21 Januari hingga 12 Februari 2008 dan didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama.

Selaku ejen kerajaan Malaysia, Abdul Rahman didakwa dengan niat untuk memperdaya prinsipalnya dengan menggunakan Surat Ahli Dewan Undangan Negeri yang mengandungi butiran palsu bagi tuntutantuntutan ke atas program atau aktiviti yang sebenarnya tidak dilaksanakan.

Antara tuntutan yang dibuat menggunakan butiran palsu ialah membeli hadiah dan cenderamata serta penganjuran jamuan Program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia, Penilaian Menengah Rendah, Ujian Penilaian Sekolah Rendah di kawasan dewan undangan negeri (DUN) yang diwakili beliau.

Beliau juga didakwa membuat tuntutan menggunakan butiran palsu mengenai Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga KRT di DUN Sungai Ayer Tawar, Program Forum Perdana Peringkat Mukim Bagan Nakhoda Omar, program mesra rakyat dan Hari Keluarga Guru-guru KEMAS serta Program Mesra Rakyat dan sambutan Maulud Nabi di kawasan beliau.

Abdul Rahman dituduh membuat tuntutan palsu bernilai RM10,000 bagi setiap lapan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa memohon kepada mahkamah supaya Abdul Rahman dikenakan jaminan RM30,000 bagi kesemua lapan pertuduhan itu dan meminta mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan bagi kes itu.

Namun demikian, Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Abdul Rahman berkata jumlah jaminan RM30,000 itu adalah membebankan kerana jumlah jaminan hanyalah bagi mempastikan kehadiran tertuduh semasa perbicaraan dan tertuduh telah pun memberikan kerjasama beliau semasa siasatan.

Oleh itu, beliau memohon dikurangkan kepada RM8,000 dengan satu penjamin bagi kesemua pertuduhan tetapi dibantah oleh Abdul Razak.

Menurut Razak, jumlah wang jaminan itu adalah rendah jika dibandingkan nilai tuntutan palsu RM80,000 dengan denda lima kali ganda nilai rasuah atau suapan yang boleh dikenakan ke atas Abdul Rahman mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah.

Bagaimanapun, Syafeera menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin ke atas Abdul Rahman.

Syafeera juga menetapkan tarikh perbicaraan pada 26 April hingga 7 Mei tahun hadapan.

Sementara itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 8, Mat Ghani Abdullah, pembantu Abdul Rahman, Rosli Busro, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kelapan-lapan pertuduhan yang sama.

Abdul Razak mencadangkan agar Rosli dibebaskan dengan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Salehuddin yang juga mewakili Rosli bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM5,000 kerana anak guamnya tidak mampu membayar jumlah yang dicadangkan berikutan perlu menyara ibunya yang menghidap sakit tua.

Mat Ghani kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM9,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes di hadapan Hakim Syafeera setelah membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes Rosli dibicarakan bersama-sama dengan kes Abdul Rahman.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain