suria

Sekolah satu aliran bantu capai matlamat perpaduan

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran agar menyusun semula sistem pendidikan negara termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan antara kaum dapat dicapai.

Hamim Samuri (BN-Ledang) berkata sistem persekolahan pelbagai aliran pada masa sekarang tidak membantu rakyat memahami erti perpaduan atau makna sebenar konsep 1Malaysia yang diwarwarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sistem yang ada sekarang perlu dipinda dan semua sekolah menengah disusun supaya mempunyai satu aliran sahaja bagi memastikan semua kaum berada di bawah satu bumbung perpaduan.

"Pada peringkat sekolah rendah, sekolah beraliran boleh dikekalkan tapi disatukan di sekolah menengah. Kerajaan boleh mengambil alih sekolah beraliran bagi mendapat pembelaan sewajarnya," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 di sini hari ini.

Datuk Ab Halim Ab Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) yang menyokong hujah Hamim berkata kajian menunjukkan sistem pendidikan sekarang tidak mempunyai matlamat akhir iaitu membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) berkata beliau setuju semua sekolah aliran disatukan pada sekolah menengah supaya matlamat perpaduan dicapai.

Pendapat untuk mengadakan sekolah satu aliran pernah disuarakan tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain