suria

Polis bongkar makmal dadah terbesar di P. Pinang

PULAU PINANG: Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket dadah apabila menemui sebuah makmal memproses dadah terbesar di Pulau Pinang serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai jutaan ringgit dalam serbuan awal pagi ini.

Menurut sumber sepasukan anggota polis bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang dan Bukit Aman menyerbu sebuah banglo di Tanjung Bungah kira-kira pukul 1 pagi.

"Dalam serbuan itu, polis menahan empat lelaki warga asing berusia antara 20 dan 40 tahun dan menemui sebuah makmal memproses dadah di rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pelbagai jenis dadah dan sejumlah wang tunai dirampas dalam serbuan itu.

"Selain banglo itu, pasukan polis yang menjalankan risikan sejak beberapa minggu lepas turut menyerbu sebuah rumah di Ayer Itam di sini kira-kira pukul 11 malam tadi.

"Dalam serbuan itu polis menahan sepasang kekasih berusia awal 30an serta merampas pistol, bom tangan dan dadah," katanya.

Menurut sumber itu polis kini mengesan saki baki anggota sindiket berkenaan berdasarkan maklumat yang diperoleh dan percaya sindiket terbabit telah beroperasi di negeri ini sejak beberapa bulan lepas.

Kesemua mereka yang ditahan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

"Satu sidang akhbar berhubung kejayaan rampasan dadah terbesar di Pulau Pinang itu akan diadakan esok (Khamis)," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain