suria

Cucu didakwa bunuh nenek

DUNGUN: Seorang bekas komando, Mohd Nassir Abdul Manan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh neneknya yang pernah menjaga beliau semasa kecil dalam kejadian di Kampung Bukit Pak Sabah, di sini 12 Okt lalu.

Mohd Nassir, 42, yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk dan berkata faham ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Mohd Yusoff Yunus.

Mengikut pertuduhan, beliau antara pukul 9 pagi hingga pukul 7.30 petang 12 Okt lepas, didakwa membunuh Muda Mat Zin, 80, di rumah bernombor 225, Jalan Baru Bukit Pak Sabah, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes 21 Disember ini.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad memohon supaya kes ditangguhkan bagi membolehkan laporan kimia dan laporan bedah siasat mangsa diperoleh.

Mohd Nassir ditahan polis pada 13 Okt lepas, beberapa jam selepas kejadian bunuh itu dilaporkan.

Media sebelum ini melaporkan mayat mangsa ditemui oleh anak perempuannya yang berusia 61 tahun pada pukul 6.40 petang, pada hari kejadian dengan kesan tetakan di belakang kepalanya selain dicekik sebelum dibenamkan di dalam besen di rumahnya.

Siasatan awal polis dipercayai pembunuhan tersebut bermotifkan rompakan kerana beberapa barang kemas milik mangsa seperti rantai leher, gelang dan cincin emas didapati hilang. BERNAMA

Artikel Lain