suria

Zahid jawab Ishak balik

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail menjadi ‘modal’ untuk Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan Ucapan Penggulungan Dasar Presiden yang menarik perhatian para perwakilan hari ini.

Ucapan yang membalas balik ucapan Usul Dasar Presiden oleh Ishak selaku wakil pergerakan Umno Negeri Sembilan semalam itu, membuatkan ramai orang tertawa.

Semalam Ishak ‘mengenakan’ Zahid dengan membongkar rahsia Menteri Pertahanan itu berhutang RM20 dengannya semasa zaman persekolahan dulu.

Namun begitu hari ini, Zahid menjawab balik yang dia bukannya berhutang RM20 tetapi RM100.

Dalam nada seloroh, ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata ‘kalau kau tak malu, ambillah duit RM20 ni Sahak (Ishak)’.

Beliau juga membongkar cerita sebenar mengenai Ishak yang menggunakan nama Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM2,000 untuk diberikan kepada rakyat.

“Semua yang Sahak cakap semalam kebanyakannya adalah tipu. Semalam saya tanya dengan Datuk Rais, dia kata bukan RM2,000 tapi RM20,000 yang diberikan kepada Sahak.

“Saya nak tanya, mana perginya duit lagi RM18,000 tu, Sahak?,” kata Zahid sambil ketawa ceria.

Zahid juga memaklumkan yang Ishak tidak pandai bercakap dalam bahasa Arab melainkan perkataan ‘ana’ dan ‘anta’.

“Jika orang nak tahu, Sahak ni al-hafiz...surah Al-Fatihah dan ayat-ayat lazim sahaja,” ceritanya yang membalas semula ‘jenaka’ Ishak yang memberitahunya tidak pandai bercakap dalam bahasa Inggeris.

Artikel Lain