suria

Pemuda Umno akan pastikan 'sesumpah politik' tidak berjaya tadbir negara

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno akan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai 'sesumpah politik' tidak akan berjaya mentadbir negara ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata Pemuda Umno tidak akan membiarkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terus menerus membuat helah bagi mempengaruhi generasi muda dan keseluruhan rakyat Malaysia demi kepentingan politiknya.

"Anwar Ibrahim melalaikan masyarakat Malaysia, memanipulasi dan mengulit jiwa mereka dengan kata-kata indah seakan-akan dia lah pemimpin yang bersih, tulen, berintegriti, dan acap kali menuduh pemimpin UMNO sebagai rasuah, rakus dan rasis.

"Siapa sebenarnya Anwar Ibrahim? Pejuang rakyat marhaen? Pejuang agama Islam? Pejuang bangsa Melayu? Pejuang hak asasi yang berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar, seorang chameleon politik sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda di sini hari ini.

Malah Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata adalah menjadi tanggungjawab Pemuda Umno untuk mendedahkan siapa sebenarnya pakatan pembangkang yang diterajuai Anwar.

Anwar merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan siapa sebenarnya pakatan pembangkang ini kerana mereka bukannya sebuah parti politik yang tulen.

"Malah perhubungan mereka bukannya berteraskan ikatan yang sah atas prinsip yang sama, apa yang sebenarnya wujud hanyalah satu perhubungan rambang dan kasual, tanpa prinsip moral, tanpa cinta sejati, tanpa hormat-menghormati.

"Mereka hanya satu pakatan yang sanggup tidur sekatil demi mimpi untuk ke Putrajaya, satu pakatan yang bernafas atas nafsu untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Selain itu katanya terdapat beberapa insiden yang dapat dilihat semenjak Pilihan Raya Umum ke-12 2008 yang menunjukkan tiada setiakawan dan tiada keikhlasan dalam perjuangan pembangkang.

"Tidak keterlaluan, jika saya nyatakan bahawa di antara mereka, DAP yang paling berkuasa manakala PAS sudah lari dari asas perjuangan dan menggadaikan prinsip tulen parti tersebut apabila negara Islam bukan lagi menjadi wawasan utama mereka.

"PAS tidak lagi garang bersuara, berani mengajar, jauh sekali berani menegur PKR dan DAP tentang pelbagai perkara. PAS tidak lagi sensitif kepada perkara-perkara pokok seperti cadangan menggunakan dana zakat bagi pentadbiran negeri di Selangor.

"PKR pula parti yang tandus ideologi, sekadar berkisar pengagungan seorang individu bernama Anwar Ibrahim. Apa sebenarnya prinsip perjuangan PKR? atau adakah mereka sama seperti DAP yang dahagakan kuasa? Kalau kononnya berjuang atas tiket keadilan dan anti rasuah, lihat sendiri pemimpin kamu itu wahai PKR," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain