Mahathir dan Abdullah akan hadir perasmian Perhimpunan Agung Umno - Semasa | mStar

Mahathir dan Abdullah akan hadir perasmian Perhimpunan Agung Umno

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tun Abdullah Ahmad Badawi telah pun mengesahkan kehadiran mereka ke perasmian Perhimpunan Agung Umno 2009 pada Khamis ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata mereka dijemput sebagai tetamu kehormat pada majlis perasmian perhimpunan itu.

Kedua-dua mereka akan diiringi oleh isteri masing-masing, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Tun Jeanne Abdullah, kata beliau kepada Bernama hari ini.

Tengku Adnan berkata Abdullah juga merupakan perwakilan ke perhimpunan itu kerana beliau masih menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Kepala Batas.

Ini adalah kali pertama Abdullah menghadiri perhimpunan agung Umno sebagai tetamu setelah meletakkan jawatan sebagai Presiden parti pada Perhimpunan Agung Umno 2008 pada 28 Mac lepas, dan telah melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 3 April lepas.

Bagi Dr Mahathir, ini kali pertama beliau menghadiri Perhimpunan Agung Umno sebagai anggota setelah menyertai semula parti itu pada 4 April lepas.

Dr Mahathir mengisytiharkan keluar daripada Umno pada 19 Mei 2008 dalam satu ceramah di Alor Setar, Kedah kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap parti yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun.

Bagaimanapun dalam Perhimpunan Agung Umno 2008 pada Mac lepas, Dr Mahathir menghadiri hari terakhir perhimpunan itu sebagai jemputan.

Beliau memasuki dewan persidangan sewaktu ucapan penggulungan oleh Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan apabila ditanya pemberita mengenai kehadirannya itu, Dr Mahathir berkata ia kerana pemilihan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno yang baru.

Sehari selepas Najib mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri yang keenam pada 4 April lepas, Dr Mahathir bersama Dr Siti Hasmah dan anak mereka Datuk Mokhzani menyertai semula Umno.

Dr Mahathir mengekalkan nombor keanggotaannya 0000001 manakala Dr Siti Hasmah 0000002.

Dr Mahathir pernah disingkirkan daripada Umno di zaman Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman pada 26 September 1969 kerana mengkritik kepimpinan pemimpin itu, dan diterima semula sebagai anggota Umno pada 7 Mac 1972 apabila Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri kedua. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

Artikel Lain