suria

Pelajar dipercayai cuba sabotaj PMR di SMK Taman Johor Jaya

JOHOR BAHARU: Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Johor Jaya 2 terganggu kerana sebahagian dewan sekolah itu terbakar pagi tadi dipercayai akibat perbuatan khianat seorang pelajar.

Seramai 75 calon terpaksa dipindahkan ke bilik kuarantin Influenza A (H1N1) bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan itu.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Markom Giran berkata, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 6 pagi itu memusnahkan sebahagian kecil dewan itu termasuk peralatan pembelajaran di dalamnya.

"Kejadian itu hanya disedari oleh seorang pengawas peperiksaan yang datang ke sekolah berkenaan kira-kira pukul 6.25 pagi dan pada ketika itu api sudah hampir terpadam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Markom berkata, kejadian itu dipercayai perbuatan khianat pelajar yang tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan sekolah dan ketika kejadian seorang guru sempat melihat kelibat seseorang melarikan diri dari tempat kejadian. Perkara itu sudah dilaporkan kepada pihak polis, katanya.

Markom berkata, 58,185 pelajar menduduki peperiksaan tersebut di 473 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Katanya, setiap pelajar diambil suhu badan mereka sebelum dibenarkan mengambil peperiksaan dan para pelajar turut dibekalkan dengan topeng penutup mulut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain