suria

MIED: Pemuda bantah usah bawa keluar daripada MIC

KUALA LUMPUR: Pemuda MIC akan membantah sebarang usaha untuk membawa keluar Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) daripada MIC.

Menurut Setiausaha Agungnya, C. Sivarraajh, beliau tidak menolak bahawa wujudnya pertalian antara MIED dan AIMST dengan MIC.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua syarikat terbabir adalah entiti bebas yang dikendalikan oleh Lembaga Pemegang Amanah dan ahli-ahlinya sendiri.

Ini kerana, kata Sivarraajh, parti politik tidak dibenarkan mempunyai entiti perniagaan.

Sivarraajh berkata Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu telah memaklumkan beliau ingin membawa pihak luar untuk memperkukuhkan pentadbiran dan perjalanan kedua-dua dua entiti berkenaan.

Tegas beliau, Samy Vellu tidak pernah berkata beliau akan membawa keluar MIED dan AIMST daripada MIC.

Sivarraajh berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan bekas Timbalan Presiden parti, Datuk S. Subramaniam bahawa Samy Vellu telah berbohong mengenai pemilikan dua entiti tersebut.

Semalam, Subramaniam menyifatkan kenyataan Samy Vellu mengenai isu MIED dan AIMST dalam sebuah portal berita empat hari yang lalu sebagai satu pembohongan semata-mata.

Dalam temu bual itu, Samy Vellu menegaskan, tiada apa-apa kaitan antara MIED dan AIMST dengan MIC.

Samy Vellu menambah, kedua-dua sayap pendidikan itu ditubuhkan atas kapasiti peribadi beliau sebagai Presiden MIC apabila pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad meminggirkan masyarakat India daripada arus perdana pembangunan negara ini.

Kata Samy Vellu, oleh kerana beliau merupakan Presiden MIC, itu tidak bermakna MIED dan AIMST adalah milik parti itu.

Namun Subramaniam mendakwa, Presiden MIC itu sedang merancang untuk merampas kedua-dua syarikat yang telah diamanahkan kepada parti itu.

Malah Sivarraajh berkata, Nesa Cooperation yang mana Subramaniam merupakan pengerusinya turut dikaitkan dengan MIC.

Katanya, ini kerana kepimpinan MIC telah mengasaskannya untuk membantu masyarakat India.

Pemuda MIC turut mempersoalkan niat Subramaniam mengetengahkan isu tersebut.

Menurut Sivarraajh, pihaknya beranggapan Subramaniam mempunyai niat yang tersembunyi untuk mencemarkan imej pemimpin MIC.

Katanya, Subramaniam mengeluarkan kenyataan sedemikian untuk memastikan beliau kekal relevan dalam arena politik selepas kegagalannya dalam pilihan raya parti MIC pada bulan lalu.

Tambahnya, beliau sepatutnya berusaha menyatupadukan pelbagai parti politik India dan tidak cuba mencemarkan imej MIC.

Artikel Lain